Archive for 11 Jun 2011


ALEEYA HUMAIRA

Abang Ali Hassan, setiausaha JK Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil mengundang saya ke rumahnya, bersebelahan dengan masjid untuk majlis kenduri kesyukuran menyambut kelahiran anaknya yang ke-4 malam tadi. Alhamdulillah, setelah 12 tahun katanya mereka menimang cahayamata baru dan terasa muda kembali.

Di rumah, jamaah masjid yang hadir mengadakan majlis bacaan rawi barzanji,  marhaban , menggunting rambut serta doa, manakala sebelum jamuan saya diminta mentahnik bayi perempuan berkenaan. Memang di masjid mereka saya berkuliah setiap isnin menggunakan buku ‘Indahnya Hidup Bersyariat’, dan dalam bab awal buku berkenaan ada menjelaskan tentang syariat kelahiran, antaranya azan dan iqamah, tahnik, memberi nama yang baik, khitan, aqiqah dan mencukur rambut.

Semoga abang Ali Hassan bertambah bahagia dengan kehadiran seorang lagi ahli keluarga yang baru. Tahniah!

Khatib : Ustaz Haji Ibrahim Kisab

Lokasi : Masjid Negeri Sabah

“Siapa yang mandi pada hari Jumaat dan dia gosokkan dari wangian isterinya jika ada padanya, lalu dipakainya pakaian yang baik, kemudian itu dia pun keluar sehingga datang dia ke masjid, lalu dia solat (sunat) dan tidak dia mengganggu walau seorangpun, kemudian dia duduk diam. Apabila imam telah keluar (telah naik ke mimbar), sampai dia solat, semuanya itu akan menjadi penebus dosanya di antara Jumaat itu dengan Jumaat yang lain”. (HR Imam Ahmad)

Memelihara syarat, rukun dan kaifiyat pada hari Jumaat, adalah antara kesempurnaan dalam beribadah. Maka perlu diperingatkan kepada para jemaah berkaitan dengan Solat Jumaat itu, ialah Khutbah Jumaat. Khutbah Jumaat adalah rukun Solat Jumaat, tanpa khutbah tidak sah Solat Jumaat.

Antara perkara utama berkaitan Khutbah Jumaat pula ialah mendengar khutbah dengan baik dan tenang dan jangan sekali-kali bercakap-cakap antara sesama jemaah, kerana akan mensia-siakan Jumaatnya, daripada Abu Hurairah RA, bahawa sesungguhnya Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Apabila engkau katakan kepada kawan engkau ‘diamlah’ pada hari Jumaat sedang Imam berkhutbah, maka jadi sia-sialah engkau”. (HR Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW telah menyatakan, jika seorang jemaah berkata ‘diamlah’ kepada kawannya itupun boleh menyebabkan Solat Jumaat hari itu menjadi sia-sia, yakni hilang segala pahala Jumaatnya. Oleh itu, umat Islam terutama jemaah sekalian dituntut supaya menjaga adab-adab Jumaat ini. Sesungguhnya kesempurnaan ibadah yang disyariatkan dalam Islam adalah terletak pada syarat, rukun dan kaifiyat-kaifiyat yang telah ditentukan.

Dilarang bercakap-cakap ketika Imam/Khatib sedang berkhutbah itu juga adalah perintah Syariat Islam untuk memelihara kesempurnaan Solat Jumaat. Sesungguhnya akan rugi dan sia-sialah Jumaat kita, sekiranya tidak dapat memelihara syarat kesempurnaan Solat Jumaat ini. Para sahabat Rasulullah SAW apabila saja beliau naik ke atas mimbar, maka perhatian para sahabat hanya tertumpu kepada isi khutbah yang dikhutbahkan oleh Rasulullah SAW. Marilah kita contohi cara dan ketekunan para sahabat Rasulullah SAW mendengar khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Untuk kita menjadi umat yang terbaik contohilah umat terbaik di zaman Rasulullah SAW itu.

%d bloggers like this: