Archive for 10 Jun 2011


SAMBUTAN HARI GURU PASTI SABAH 2011

Lebih 100 guru-guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) seluruh Sabah berkampung di Bandaraya Kota Kinabalu bagi menyertai sambutan Hari Guru PASTI Peringkat Negeri Sabah yang diadakan di Likas Square baru-baru ini bertemakan ‘Guru Menjana Kemenangan Ummah’. Untuk rekod di Sabah terdapat 58 buah PASTI yang berserakan di pelusuk negeri dengan jumlah pelajar seramai 3470 orang.

Kemeriahan sambutan hari guru ini turut terserlah dengan kehadiran Pengarah PASTI Malaysia Cikgu Hassan Aladi bagi merasmikan majlis berkenaan. Cikgu Hassan sendiri pernah bertugas beberapa tahun di Sabah dan pernah bergiat aktif memimpin organisasi PASTI di peringkat daerah Tawau dan Sabah satu ketika dahulu sebelum berkhidmat di negeri Perak. Dalam ucapan perasmiannya, Cikgu Hassan menegaskan seluruh guru PASTI agar terus istiqamah dalam perjuangan walaupun menghadapi pelbagai cabaran. Ini kerana mereka perlu menyedari bahawa  guru-guru PASTI adalah sebahagian daripada aset penting dalam perjuangan menyebarkan risalah Islam.

Dalam majlis berkenaan, beberapa guru menerima anugerah yang disampaikan oleh Cikgu Hassan Aladi sendiri. Antaranya ialah Junaina Jakla dari PASTI Tawau menerima anugerah Tokoh Guru PASTI Sabah, Hariyati Latomba dari PASTI Tawau penerima anugerah Guru Paling Lama Berkhidmat dan Kasminah Sulaiman dari PASTI Putatan penerima anugerah Guru Paling Aktif. Selain itu empat buah PASTI turut menerima anugerah iaitu PASTI Nurul Hannani Kuhara Tawau (PASTI Paling Lama), PASTI Nurul Mawaddah Tawau (PASTI Paling Aktif), PASTI Nurul Hasanah Bukit Padang K. Kinabalu (Anugerah Khas) dan PASTI Kawasan Sandakan (Anugerah Khas Pengarah PASTI).

***

Alhamdulillah, setakat ini seorang anak kami sudah selesai menerima pendidikan PASTI (2007-2009) di PASTI Nur Fathonah Putatan, sementara kini ada dua orang lagi berada di PASTI yang sama. Insya Allah, tahun hadapan seorang lagi akan menyertai pendidikan pra sekolah berkenaan.

Saya tiba di rumah jam 8.45 malam selepas penerbangan pulang dari KLIA ke Kota Kinabalu. Kurang sejam kemudian, saya menerima kehadiran keluarga kakak dari Labuan yang sedang menghabiskan cuti mereka di Sabah. Makan malam bersama dan anak-anak bermain lego bersama buat seketika setelah mereka bertemu kali terakhir pada hari raya aidil fitri yang lalu. Terima kasih atas kunjungan, dan itu mengubat kerinduan anak-anak terhadap sepupu mereka.

%d bloggers like this: