Kesempatan dibawa berziarah ke premis-premis syarikat penerbit buku terkemuka di ibu negara beberapa hari lalu bersama beberapa rakan satu kenangan terindah dan begitu manis sekali. Jujurnya, ketiga-tiga syarikat penerbit buku ini adalah antara yang saya minati dan buku-buku terbitan mereka sangat banyak dalam koleksi maktabah di rumah kami. Apatah lagi setahun dua kebelakangan, saya semakin ketagihan dengan buku-buku walaupun tidak semuanya habis dibaca. Musafir kami diketuai oleh Tuan Haji Abu Aslam, pemilik bersama kedai buku Pustaka Aslam.

Professional Training Service (PTS)

Teksi yang membawa kami berlegar-legar masuk dan keluar kerana kurang maklumat dengan kawasan tujuan kami. Beberapa kali pegawai PTS dihubungi dan meminta alamat premis. Rupanya Dolomite Business Park, Batu Caves adalah satu kawasan yang agak luas juga. Kami berhenti di satu restoran berdekatan dan kemudian dijemput oleh Sdr Saifulnizam Razali, eksekutif jualan pemasaran yang dimaksudkan.

Saya dimaklumkan  Kumpulan PTS yang diasaskan oleh Puan Ainon Mohd dan Dr Abdullah Hassan pada 1988 dengan syarikat konsultan mempunyai 10 syarikat dibawahnya. Buku-buku pelbagai genre daripada kanak-kanak, remaja, umum, agama, pengurusan, pendidikan, motivasi, perniagaan dan sebagainya. Kualiti buku daripada segi kaver, kandungan, tatabahasa dan pemasaran penulis adalah antara yang difokuskan dalam menerbitkan buku terbitan PTS.

Menurut maklumat melalui http://pts.com.my/, PTS hanya menerbitkan buku-buku yang kandungannya mempunyai tiga ciri utama iaitu : memandaikan bangsa, mematuhi hukum syariah dan menggunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT). Kesempatan berkunjung ke sini juga saya rebut dengan membeli lagi buku-buku terbitan PTS dengan kadar diskaun sehingga 30%. Beratus ringgit juga saya habis di sini. Kami juga dilayan sebaiknya oleh petugas terutama Sdr Saifulnizam.

Al-HIDAYAH

Selorong dengan PTS, kunjungan ke al-Hidayah House of Publisher http://www.hidayah.com.my/site/ memang tiada dalam perancangan. Sebagaimana kami dimaklumkan hubungan erat antara PTS dan al-Hidayah, Sdr Saifulnizam sendiri menunjuk dan membawa kami ke premis al-Hidayah. Sedikit malang, meski banyak buku yang menarik perhatian tetapi duit di dompet sudah hampir kehabisan kerana berbelanja besar di PTS. Hanya dua tiga buah buku saya beli di sini. Kata mereka, tiada mesin ATM bank yang berdekatan. Rugilah!

Saat saya memperkenalkan diri sebagai ahli lajnah tashih al-Quran, mereka di al-Hidayah agak teruja juga kerana mereka ada menerbitkan pelbagai mashaf al-Quran. Anak bos al-Hidayah, juga bernama Saiful (katanya beristerikan orang Sabah), yang juga menurut mereka bos nombor dua, menghadiahkan saya dua mashaf al-Quran sebagai kenang-kenangan. Mashaf yang dilengkapi dengan terjemahan dan indeks kata, peristiwa dan sebagainya. Teruja juga dengan keramahan dan sambutan baik mereka.

Saudara Saiful menyampaikan sumbangan al-Quran terbitan mereka (al-Hidayah)

TELAGA BIRU

Pegawai di al-Hidayah House of Publisher sangat baik hati menghantar kami ke Damansara Industrial Park, lokasi pejabat Syarikat Telaga Biru Sdn Bhd. Kami disambut oleh Sdr Sani Jiran, anak Kota Belud yang bertugas sebagai pegawai kanan perhubungan awam (PR) di Telaga Biru. Kunjungan ke Telaga Biru http://telagabiru.net.my/index/ lebih lama kerana Sani membawa kami meneroka setiap bilik di bangunan mereka. Bermula di tingkat bawah, kami dibawa ke bahagian stor buku dan bahagian majalah solusi sebelum dibawa naik ke tingkat atas.

Di tingkat atas, kami dibawa ke setiap bahagian dan bertemu sebahagian pegawai dan staf Telaga Biru, antaranya ke bilik peragaan buku, mini studio, pejabat Ustaz Dr Zahazan Mohammed, Telaga Biru Consultan, bahagian kewangan, grafik, bilik kuliah, surau dan lain-lain. Hasrat untuk bertemu Ustaz Zahazan juga terbantut apabila melihat beliau bersama rakan-rakannya sedang melakukan perbincangan dengan tokoh ulama terkemuka, Shaikh Nuruddin Marbu al-Banjari di lokasi yang sama.

Kami dimaklumkan bahawa buku ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ buah tangan Ustaz Ismail Kamus terbitan Telaga Biru mendapat anugerah buku terlaris 2010 dengan lebih 500 ribu naskhah. Majalah Solusi pula merupakan majalah Islam paling laris saat ini dengan jualan 150 ribu bagi setiap keluaran. Sebuah majalah baru islamik dengan nama ‘Gen Q’ khabarnya juga akan dilancarkan oleh Telaga Biru sebelum Ramadhan ini yang mensasarkan pembaca kalangan belia dan remaja.

Di sini sempat juga saya membeli beberapa buah buku sebagai buah tangan dan bekalan pulang ke Kota Kinabalu. Keseluruhan, dari tiga buah premis penerbit buku terkemuka dicampur dengan buku-buku lain yang saya beli di premis lain selama 3 hari di ibu negara, rasanya mau juga beratnya 20kg. Harga jangan ceritalah. Insya Allah, untuk buku dan ilmu, saya yakin ada rezekinya.