Beliau adalah Speaker Parlimen Palestin yang datang ke Malaysia dan menghadiri beberapa acara di Malaysia. Antaranya ialah menghadiri majlis perasmian Muktamar ke-57 PAS di Dewan Dato’ Fadzil Mohd Noor yang dilakukan oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS. Selain itu pada malam minggu satu ceramah perdana diadakan, dan beliau adalah salah seorang pemidatonya.

Dalam ucapan dasar Presiden tahun ini, antara perkara yang disebutkan berkaitan isu antarabangsa ialah berkenaan Palestin :

PAS juga akan terus istiqamah untuk menyuarakan ketidakadilan dan penentangan terhadap kezaliman ini di pentas antarabangsa – samada menerusi memorandum dan dialog, demonstrasi, forum antarabangsa seperti Muktamar Al-Quds, Persidangan Antarabangsa Parti Politik Asia (ICAPP), Persidangan Ahli Parlimen Islam dan sebagainya. PAS juga akan terus menerus menyumbang kepada dunia yang lebih adil dan aman.

Di rantau ini, PAS tetap berperanan membela umat Islam di Selatan Filipina dan Selatan Thailand yang terus bergolak. Kita akan terus mengambil ‘pendekatan kemanusiaan’ dan ‘pendekatan diplomatik’ bagi mencari jalan penyelesaian terbaik di kedua-dua wilayah bergolak ini. Inilah yang pernah dibuktikan oleh PAS, apabila kepimpinan PAS telah turut sama terlibat tanpa jemu dan menyuarakan pandangan serta nasihat kepada kepimpinan yang bertelagah, sehingga akhirnya cahaya perdamaian berjaya di meterai di wilayah Acheh sehingga sekarang.

Namum PAS ingin sekali lagi menegaskan bahawa agenda antarabangsa utama kita adalah pembebasan Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin yang menjadi kiblat pertama bagi seluruh umat Islam. Kita juga ingin menegaskan, sekiranya keamanan dunia mahu di capai, Amerika Syarikat serta sekutu mereka hendaklah segera keluar dari menjajah bumi umat Islam seperti di Afghanistan dan Iraq. Perdamaian dunia juga hanya akan dapat dicapai apabila kekejaman Zionis Israel terhadap rakyat Palestin dihentikan dan hak serta tuntutan bumi dan negara Palestin ditunaikan segera.

Sementara itu, dalam ceramahnya pada malam minggu di dewan yang penuh sesak, Dr Ahmad Bahar memohon doa umat Islam di Malaysia untuk perjuangan saudara-saudara di bumi Ghazzah dan Palestin. Paling menggentarkan jiwa, apabila beliau menyebut : Insya Allah kita akan dapat mendirikan solat bersama-sama di Masjidil Aqsa tidak lama lagi. Allahu Akbar! Ceramah beliau diterjemahkan oleh Ustaz Ahmad Arif.