Pertama kali masuk ke masjid ini, saya sudah merasa kehebatannya. Statusnya setahu saya cuma masjid kampung, tetapi masjid ini ada empat tingkat. Di ruang bawah menempatkan dewan atau bilik kuliah (saya terlupa menggambar), sementara di tingkat 1 adalah dewan solat. Tingkat dua dan tiga tidak saya naiki kerana asyik mendengar kuliah maghrib, tetapi barangkali seperti ruang solat untuk muslimat. Hanya ketika itu, muslimat juga solat di dewan utama.

Tingkat dua dan tiga hanya melingkari ruang tepi bagi memudahkan jamaah di aras ini melihat dewan utama yang indah ini. Saya kira, seperti menjadi budaya masjid-masjid mempunyai dinding hadapan di kawasan mihrab yang cantik dengan ukiran-ukiran menarik. Lokasi masjid ini hanya di tepi jalan, sangat sesuai untuk kemudahan solat bagi jamaah yang lalu, hanya ruang parkir yang terbatas.

Jujurnya, saya ‘jeles’ dengan makmurnya masjid-masjid dan surau-surau di negeri Selangor. Menjadi kenangan pahit umat Islam di Selangor sebelum Mac 2008, ramai para pendakwah yang disekat dan ‘digam’ dari berceramah dan berkuliah di masjid-masjid seluruh negeri. Selepas tarikh itu, masjid dan surau di Selangor dimakmurkan sehebat-hebatnya sehingga kini dengan kehadiran jamaah masjid dan surau yang mendadak memenuhi ruang dewan.

Saya turut maklum program pengilmuan berskala besar di negeri Selangor melalui masjid, surau, pasar tani, pasar malam, forum bergerak di stadium dan seumpamanya digerakkan bersungguh-sungguh. Begitu juga pentaulihan hampir 3500 tenaga pengajar di seluruh Selangor bagi menjunjung titah Sultan Selangor yang mahu semua penceramah mempunyai tauliah.

Seperti kuliah maghrib itu, yang disampaikan oleh Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man walaupun notis yang singkat (saya sendiri hanya maklum sejam sebelum maghrib), kehadiran di masjid berkenaan tidak kurang daripada 300-400 jamaah muslimin dan muslimat. Benar kata Dato’ Tuan, Selangor kini negeri yang makmur dengan pengimarahan masjid dan surau. Umat Islam tidak boleh membiarkan suasana ini berubah kepada sebelumnya yang sunyi dengan aktiviti kuliah dan ceramah.

Saya terkedu dengan kata-kata hikmah beliau, ‘Sediakan masa untuk Allah, kalau tidak nanti di akhirat Allah tiada masa untuk kita’. Di Sabah, kita masih perlu bekerja keras lagi agar masjid dan surau dikasihi oleh umat Islam.