Archive for 5 Jun 2011


Pertama kali masuk ke masjid ini, saya sudah merasa kehebatannya. Statusnya setahu saya cuma masjid kampung, tetapi masjid ini ada empat tingkat. Di ruang bawah menempatkan dewan atau bilik kuliah (saya terlupa menggambar), sementara di tingkat 1 adalah dewan solat. Tingkat dua dan tiga tidak saya naiki kerana asyik mendengar kuliah maghrib, tetapi barangkali seperti ruang solat untuk muslimat. Hanya ketika itu, muslimat juga solat di dewan utama.

Tingkat dua dan tiga hanya melingkari ruang tepi bagi memudahkan jamaah di aras ini melihat dewan utama yang indah ini. Saya kira, seperti menjadi budaya masjid-masjid mempunyai dinding hadapan di kawasan mihrab yang cantik dengan ukiran-ukiran menarik. Lokasi masjid ini hanya di tepi jalan, sangat sesuai untuk kemudahan solat bagi jamaah yang lalu, hanya ruang parkir yang terbatas.

Jujurnya, saya ‘jeles’ dengan makmurnya masjid-masjid dan surau-surau di negeri Selangor. Menjadi kenangan pahit umat Islam di Selangor sebelum Mac 2008, ramai para pendakwah yang disekat dan ‘digam’ dari berceramah dan berkuliah di masjid-masjid seluruh negeri. Selepas tarikh itu, masjid dan surau di Selangor dimakmurkan sehebat-hebatnya sehingga kini dengan kehadiran jamaah masjid dan surau yang mendadak memenuhi ruang dewan.

Saya turut maklum program pengilmuan berskala besar di negeri Selangor melalui masjid, surau, pasar tani, pasar malam, forum bergerak di stadium dan seumpamanya digerakkan bersungguh-sungguh. Begitu juga pentaulihan hampir 3500 tenaga pengajar di seluruh Selangor bagi menjunjung titah Sultan Selangor yang mahu semua penceramah mempunyai tauliah.

Seperti kuliah maghrib itu, yang disampaikan oleh Ustaz Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man walaupun notis yang singkat (saya sendiri hanya maklum sejam sebelum maghrib), kehadiran di masjid berkenaan tidak kurang daripada 300-400 jamaah muslimin dan muslimat. Benar kata Dato’ Tuan, Selangor kini negeri yang makmur dengan pengimarahan masjid dan surau. Umat Islam tidak boleh membiarkan suasana ini berubah kepada sebelumnya yang sunyi dengan aktiviti kuliah dan ceramah.

Saya terkedu dengan kata-kata hikmah beliau, ‘Sediakan masa untuk Allah, kalau tidak nanti di akhirat Allah tiada masa untuk kita’. Di Sabah, kita masih perlu bekerja keras lagi agar masjid dan surau dikasihi oleh umat Islam.

Ini adalah salah satu cara dan tanda kreativiti pengurusan surau / masjid khususnya untuk menambah dana serta memperbaiki kedudukan kewangan semasa. Ketika berada di sini, saya seperti kebanyakan tetamu yang lain menerima sekurang-kurangnya sebotol air mineral secara percuma. Saya kira ini satu idea kreatif dan boleh dikembangkan ke dalam projek-projek yang lain. Surau Saujana Impian beralamat di Taman Saujana Impian, Kajang Selangor.

Kalau pun tidak semua, tetapi kebanyakan aktiviti surau dan masjid memerlukan dana khususnya membiayai program pengimarahan rumah-rumah Allah ini. Dalam konteks Sabah, saya mengharapkan kreativiti JK dan seluruh pendukung serta jamaah masjid dan surau duduk berbincang secara jujur dan ikhlas bagi mengaktifkan lagi masjid dan surau. Mengundang penceramah jemputan sama ada dari ibu negeri ke pedalaman atau dari luar Sabah contohnya memerlukan biaya penginapan dan kos penerbangan, kalau pun tidak untuk sekelumit saguhati. Begitu juga kos makan minum majlis perlu sedikit ditampung dengan kerjasama jamaah membawa bekalan dari rumah seperti diamalkan banyak masjid dan surau.

Perjalanan dan pengembaraan dari surau ke surau, masjid ke masjid di merata tempat memberikan banyak pengalaman dan idea-idea menarik untuk kita kongsi bersama. Air mineral adalah salah satu contohnya yang boleh kita bawa dan kembangkan kepada idea yang lain. Janganlah kita termasuk dalm hadith nabi ‘masjid yang besar dan indah tetapi kosong daripada hidayah Allah SWT’. Tahniah atas idea kreatif air mineral Surau Saujana Impian, semoga surau kalian terus makmur dengan aktiviti yang mendekatkan jamaah kepada rahmat Allah SWT.

%d bloggers like this: