Khatib : Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Lokasi : Masjid ar-Rahimah, Taman Greenwood Gombak.

Firman Allah SWT (bermaksud) :

“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad SAW) bermula dari Masjidil Haram di Makkah menuju ke Masjidil Aqsa di Palestin yang Kami berkati sekitarnya, supaya Kami memperlihatkan tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat” (al-Isra ayat 1).

Hari ini bermulanya bulan Rajab, mengingatkan umat Islam akan suatu peristiwa yang agung dan bersejarah iaitu al-Isra wal Mi’raj. Misi seorang hamba yang diperjalankan oleh Allah SWT untuk melihat keagungan-Nya dan akhirnya menerima kewajiban solat 5 waktu sehari semalam.

Barang diingat oleh umat Islam bahawa antara perkara yang diperlihatkan dalam peristiwa ini kepada Rasulullah SAW ialah godaan-godaan iblis, godaan dunia dan musuh Allah SWT. Maka umat Islam wajib mengambil pengajaran akan peristiwa ini dalam kehidupan manusia, kerana manusia akan sentiasa diuji dalam hidupnya. Manusia diuji dengan susah dan senang, diuji dengan harta dan keluarga, dan digoda oleh syaitan yang sentiasa memusuhi manusia yang beriman. Orang beriman juga diuji dengan musuh yang nampak iaitu Yahudi dan Nasrani yang berusaha menyesatkan umat Islam dalam kehidupan dunia ini.

Allah SWT menyatakan di dalam al-Quran : “Adakah manusia menyangka bahawa mereka dibiarkan berkata ‘Kami beriman’, sedangkan mereka tidak diuji”. Maka sewajarnya manusia berhati-hati dan sentiasa mencari bekalan dalam kehidupan yang bernama taqwa ini.