Selesai solat sunat jumaat, saya turun dari dewan utama Masjid Kg Inanam Laut mengiringi Tun Ahmadshah Abdullah yang berjumaat di situ kali ini. Sambil turun, Tun turut mengomentari isi khutbah yang saya sampaikan. Ayat penutup khutbah pertama, daripada surah Toha itu katanya baru saja dibacanya sebelum ini. Ia berkaitan orang yang celik di dunia tetapi buta di akhirat kerana enggan tunduk kepada peringatan Allah SWT.

“Ada keluar berjalan ke mana-mana ustaz?” Tanyanya sambil  kami menuruni anak-anak tangga masjid.

“Ada jugalah sikit-sikit”, jawab saya sambil hati berbisik kehairanan. Mana dia tahu saya berjalan ke mana-mana. Yang baru berlalu, dua kali ke ibu negara mengunjungi pesta buku di PWTC dan mesyuarat lajnah tashih al-Quran. Teringat, saya menyertai lajnah ini sejak bertugas di Istana Negeri ketika Tun Ahmadshah menjadi TYT.

Sesekali cerita singkat kami diselangselikan dengan aktiviti golf beliau. Ramai maklum hobi beliau yang suka bermain golf sejak sebelum menjadi TYT lagi. Pernah bermain golf bersama raja-raja termasuk YDP Agong Sultan Mizan serta kenamaan yang lain. Kini katanya beliau suka bermain pada hari-hari bekerja kerana tidak ramai orang yang membolehkan permainan ditamatkan lebih awal.

Sebelum berpisah, beliau sempat bertanya : “Ustaz, macamana Abu Nuha Corner?” Saya terperanjat, tetapi saya kawal perasaan itu.

“Tun, sesekali saya teringat kenangan di Istana Negeri, jadi saya tulis dalam blog”.

“Ya, saya pun ada save juga cerita-cerita tu ..”Beliau tersengih.

Saya langsung tidak menduga, Tun Ahmadshah turut membaca blog ini. Saya berterima kasih dan sangat menghargai kesudian beliau melayari Abu Nuha Corner. Patutlah beliau bertanya pergerakan saya awal sembang tadi. Saya doakan beliau sihat-sihat saja dan berada dalam lindungan Allah SWT. Terima kasih juga atas undangan JK Masjid Tun Ahmadshah, memberi kepercayaan saya berkhutbah di sini.