Ybhg Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din diiringi masuk ke dewan oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim (Pengerusi Darussyifa’ Sabah) dan Ustaz Nik Anwar Zakaria untuk majlis perasmian dan pelancaran Darussyifa’ Sabah pada 22 Mei 2011.

***

Pelancaran Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam (Darussyifa’) Cawangan Sabah oleh pengasas dan penasihatnya, Dato’ Dr Haron Din di Dewan Kinabalu Kompleks Tabung Haji, Jalan Sembulan semalam telah melengkapkan cawangannya di seluruh negara dengan cawangan Labuan dilancarkan pada sabtu sementara Sabah keesokan harinya. Darussyifa’ dalam sejarahnya secara rasmi telah ditubuhkan pada 17 April 1988 berpusat di Bangi, namun hakikatnya pengajian berkenaan pengubatan Islam yang dikendalikan sendiri oleh Dr Haron Din telah bermula sejak 1977 lagi.

Tahun demi tahun, masyarakat sekitar khususnya penduduk Bangi mulai mendekati dan mendalami ilmu berkaitan pengubatan Islam. Ia semakin berkembang dan mendapat tempat dari seluruh masyarakat, sehingga akhirnya setiap negeri mempunyai pengajian dan klinik rawatannya sendiri yang berteraskan kepada ayat-ayat al-Quran dan Hadith Nabi SAW.

Di Sabah, kehadiran Darussyifa’ disambut dengan penuh kesyukuran bahkan dengan linangan air mata kegembiraan. Bumi Sabah yang luas, dihuni oleh lebih 3 juta penduduk pelbagai agama,¬† etnik dan puluhan bahasa sukuan pernah mencatatkan sejarah dakwah Islam berkembang dengan kaedah pengubatan seperti yang dirakamkan melalui dakwah Mandur Syarif dan pendakwah-pendakwah yang lain.

Masyarakat umumnya secara disedari atau tidak, berhadapan dengan cabaran serta gangguan sihir, jin, amalan-amalan khurafat yang berlaku dalam pengubatan seperti penggunaan tangkal dan azimat, amalan menurun, jampi serapah yang bertentangan dengan Islam, serta tidak kurang dengan tipu daya bomoh dan pawang yang kononnya mengaku beramal dengan pengubatan secara Islam tanpa sesiapa pun dapat mengiya atau menafikannya kerana keterbatasan ilmu berkenaan dengannya.

Sebelum 22 Mei 2011 sekalipun, sudah ramai para ustaz dan individu yang menyampaikan risalah dakwah Islam melalui pengubatan Islam, baik atas nama lepasan Darussyifa’ atau atas individu itu sendiri. Mereka membantu menyedarkan pesakit, baik yang beragama Islam atau tidak tentang kehebatan Allah SWT yang berkuasa mendatangkan penyakit dan penawarnya. Tidak sedikit yang kembali kepada fitrah Islam setelah dirawat oleh ustaz-ustaz berkenaan, sama ada mereka memeluk Islam selepasnya atau di kalangan masyarakat Islam sendiri yang akhirnya kembali ke pangkal jalan.

Mudah-mudahan, seperti yang dicita-citakan oleh Dr Haron Din, seluruh AJK Darussyifa’ Sabah dan semua peserta, bahawa kumpulan pertama seramai 130 peserta yang mendaftarkan diri ini akan bersama-sama sehingga ke akhirnya, sejak daripada mula sehingga diijazahkan sendiri oleh Dr Haron Din kelak. Mudah-mudahan tiada yang gugur di tengah jalan. Insya Allah, kita sama-sama mendoakan.

Ustaz Ahmad Nasir selaku pengarah program dan Tuan Haji Makhtar selaku pengacara majlis berbincang sebelum sesi taklimat bermula.

Pasukan urus setia pendaftaran (muslimat)

Antara teraju utama di sebalik majlis pelancaran ini. Ustaz Baharuddin, Ustaz Ahmad Nasir, Ustaz Nazri, Ustaz Amir Hussin dan Tuan Haji Mohd Pozi.

AJK menyambut ketibaan Ybhg Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din masuk ke dewan.

Dari kiri, Tuan Haji Khairan Untoh (Timbalan Pengerusi 1 Darussyifa’ Sabah), Ustaz Haji Zulkiply Dahlan (Ketua JK Pengambilan, Latihan & Konvokesyen), Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din, Tuan Haji Abdul Rahman Ahmad (Pengerusi Darussyifa’ Pusat) dan Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim (Pengerusi Darussyifa’ Sabah).

Ustaz Nazri Yakob memimpin bacaan doa.