Ybhg Tuan Guru Dato’ Dr Haron Din, pengasas dan penasihat Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam (Darussyifa’)

Menubuhkan cawangan Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam (Darussyifa’) Sabah barangkali menjadi hasrat ramai pihak khususnya para guru agama yang terlibat secara langsung dalam dunia dakwah khususnya dalam hal pengubatan berteraskan Islam. Ketika zaman belajar dahulu, saya mendengar kes-kes berkenaan sihir di beberapa daerah, antaranya kononnya boleh menghilangkan kemaluan orang, menjadikan manusia sasaran kepanasan atau merasa gatal dan pelbagai insiden lagi.

Tidak kurang kes-kes penganiayaan dan pemisahan antara suami-isteri melalui sihir, mendendami para ustaz dan pendakwah yang menegur ahli masyarakat yang melakukan maksiat. Para bomoh dan pawang didatangi kerana mangsa kehilangan barang berharga. Oleh kerana kepakaran berkenaan ilmu pengubatan Islam sangat terbatas, maka ilmu ini menjadi eksklusif kepada individu tertentu sahaja. Maka masyarakat pula dengan pengetahuan agama yang cetek, mendatangi para bomoh dan pawang yang mengambil kesempatan atas situasi yang berlaku.

Beberapa tahun lalu ketika almarhum Ustaz Haji Nahar memimpin Masjid Negeri Sabah, diadakan beberapa siri kursus pengubatan Islam. Sebelum itu pun pada zaman Datuk Mokhtar Rapok, tidak salah saya juga diadakan kursus yang sama bagi mendedahkan kepada masyarakat tentang asas pengubatan Islam dan perbezaannya dengan pengubatan yang bertentangan dengannya. Ustaz Ku Othman khabarnya pernah mengisi slot berkenaan dan ada pihak-pihak berkepentingan tidak senang program itu diadakan.

Setahun dua kebelakangan, seminar perubatan Islam diadakan di Masjid Negeri Sabah atas anjuran Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah. Ia mendapat sambutan hebat dari masyarakat dengan ratusan peserta hadir sehingga sesi rawatan pada lewat petang yang dibimbing oleh Ustaz Nik Anwar bersama rakan-rakan beliau. Beberapa siri kuliah juga diadakan untuk menyebarluaskan lagi pengubatan Islam. Malahan Bahagian Penyelidikan & Informasi JHEAINS juga pernah mengadakan Seminar Aqidah antaranya menyentuh tajuk ‘Amalan Sihir Dalam Masyarakat’ yang disampaikan oleh Dato’ Haji Ismail Kamus pada akhir tahun lalu.

Hasil seminar perubatan Islam di Masjid Negeri Sabah, melorongkan satu cadangan agar kuliah perubatan diadakan setiap minggu. Setelah dipersetujui, kuliah berkenaan bermula pada pertengahan februari lalu di bilik kuliah Masjid Negeri dengan kehadiran mencapai 100 peserta berdaftar. Untuk kumpulan ini, ia dijangka berakhir sebelum Ramadhan dengan ujian-ujian tertentu akan diduduki oleh para pelajar sebelum sijil diserahkan kepada mereka. Dalam masa yang sama, satu lagi kuliah yang sama juga diadakan di Bandar Sierra.

Dalam tempoh kuliah perubatan Islam (KPI) MNS diadakan, timbul idea agar penganjur bekerjasama dengan Darussyifa’ di Bangi khususnya dalam membimbing kuliah-kuliah pengubatan Islam, sehinggalah tamat pengajian dengan ujian / peperiksaan, acara  konvokesyen, dan kemudian pengambilan kumpulan berikutnya. Beberapa siri mesyuarat diadakan bermula dengan penubuhan JK Darussyifa’ Sabah diketuai oleh Ustaz Haji Muchlish Ali Kasim, kunjungan ke Darussyifa Pusat di Bangi, sehinggalah pelancarannya selamat diadakan ahad lepas.

Bagi kumpulan pertama, pihak Darussyifa’ berpendapat agar peserta-peserta kuliah di Masjid Negeri Sabah dan Bandar Sierra diutamakan terlebih dahulu. Oleh yang demikian, masih ramai mereka yang tidak mengetahui kewujudan kuliah ini sehinggalah majlis perasmiannya berlangsung. Namun dengan izin Allah SWT, apabila kuliah ini berakhir dalam tempoh 90 jam kredit kelak, pihak pengurusan Darussyifa’ Sabah akan meneruskan pengambilan bagi kumpulan yang kedua pula.