Archive for 22 Mei 2011


Mensabitkan Kesalahan Zina Dan Liwat

Kesalahan zina dan liwat sabit dengan iqrar (pengakuan) atau melalui saksi-saksi yang memenuhi syarat syaratnya.

1) Iqrar (Pengakuan)

Hadis riwayat Abu Hurairah r.a. (al-Bukhari, kitab al-Hudud):

“Seorang lelaki datang mengadap Rasulullah s.a.w. di dalam masjid. Lelaki itu berkata: “Wahai Rasulullah! Saya telah melakukan zina.” Rasulullah s.a.w. berpaling ke arah lain (yakni seperti tidak melayannya), lelaki itu mengulangi pengakuannya sebanyak empat kali. Setelah lelaki itu membuat pengakuan sebanyak empat kali, akhirnya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Adakah engkau gila?” Dia menjawab: “Tidak.” Rasulullah s.a.w. bertanya lagi: “Adakah engkau telah berkahwin?” Dia menjawab: “Ya.” Lalu Rasulullah s.a.w. memerintahkan (para sahabatnya): “Bawalah lelaki ini pergi dan rejamlah dia.”

Mengikut riwayat yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Adakah engkau bercumbu-cumbu sahaja.” Dia menjawab: “Tidak. Sebenarnya saya telah berzina.”

Mengikut riwayat yang lain: “Setelah selesai sembahyang, dia (lelaki itu) datang lagi, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda: “Tidakkah awak telah berwuduk dan telah bersembahyang? Dengannya Allah mengampunkan dosa.” Tetapi lelaki itu terus mengaku berzina dan mahu supaya disucikan dirinya dengan hukuman.

Hadis riwayat Sulaiman bin Buraidah, daripada bapanya (riwayat Muslim, Kitab al-Hudud):

“Kemudian seorang perempuan dari qabilah al-Ghamidiyah datang mengadap Rasulullah s.a.w. Wanita itu berkata: “Wahai Rasulullah! Sucikanlah diri saya.” Sabda Rasulullah s.a.w. : “Baliklah, beristighfarlah engkau dan bertaubatlah.” Wanita itu berkata lagi: “Adakah engkau mahu melakukan kepada saya seperti yang engkau lakukan kepada Ma’iz bin Malik?” Rasulullah s.a.w. bertanya: “Apakah masalah engkau?” Wanita itu memberitahu bahawa dia sedang mengandung hasil perbuatan zina. Rasulullah s.a.w. bertanya: “Apakah benar?” Wanita itu menjawab: “Ya.” Rasulullah s.a.w. bersabda: “Bersalinlah dahulu.”

Wanita itu dijaga oleh seorang lelaki dari kalangan Ansor sehingga bersalin. Kemudian lelaki itu datang menemui Rasulullah s.a.w. memberitahu bahawa wanita itu telah bersalin. Baginda bersabda: “Kita tidak akan merejamnya dan membiarkan anaknya tidak dapat menyusu.” Lalu bangun seorang lelaki dari kalangan Ansar dan berkata: “Biar saya uruskan urusan penyusuannya, wahai Nabi Allah.” Lalu Rasulullah s.a.w. merejam wanita itu.”

Kedua-dua hadis di atas diriwayatkan oleh para ulama hadis dengan riwayat yang sahih dan menjadi dalil dalam kes iqrar (mengaku) berzina. Para ulama telah menyimpulkan daripadanya hukum-hukum yang berkaitan dengan iqrar melakukan kesalahan zina dan liwat.

Syarat-syarat iqrar

1. Orang yang membuat pengakuan itu hendaklah seorang yang baligh dan berakal. Tidak sah pengakuan orang gila, mabuk dan sebagainya, kerana sabda Rasulullah s.a.w. (Abu Daud: Kitab al-Hudud):

“Diangkat qalam daripada menulis amalan kanak-kanak sehingga dia baligh, daripada orang tidur sehingga dia terjaga, dan daripada orang gila sehingga dia sedar.”

2. Pengakuan hendaklah dilakukan dengan pilihan sendiri, tanpa dipaksa, sepeti dipukul, dibelasah, diberi bahan yang menghilangkan ingatan seperti dadah dan sebagainya. Maka tidak sah pengakuan orang yang dipaksa, kerana sabda Rasulullah s.a.w. (Ibn Majah: Kitab al-Talaq):

“Allah mengangkat (memaafkan) kesalahan umatku yang melakukan sesuatu kerana tersalah, terlupa dan dipaksa.”

3. Iqrar (pengakuan) dilakukan secara lisan. Tidak diterima pengakuan dalam bentuk tulisan, pita rakaman dan sebagainya dalam perkara hudud.

4. Iqrar hendaklah dilakukan berulangkali dalam perkara zina dan liwat, iaitu sebanyak empat kali, dalam majlis yang berasingan, seperti yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap Ma’iz bin Malik.

5. Iqrar itu dilakukan di hadapan hakim dan hakim pula menunjukkan sikap tidak senang dan berusaha supaya orang yang beriqrar itu tidak mengulangi iqrarnya, kerana bertaubat lebih baik daripada menyerah diri secara iqrar di hadapan pihak yang berkenaan, kerana inilah cara yang diajarkan oleh Rasulullah s.a.w.

Menarik Balik Pengakuan

Seseorang yang mengaku melakukan zina dan liwat hendaklah diterima penarikan balik pengakuannya, walaupun sudah memenuhi syarat-syarat yang tersebut di atas, kerana Rasulullah s.a.w. menegur para sahabat baginda dengan keras kerana meneruskan hukuman terhadap Ma’iz bin Malik setelah dia melarikan diri ketika hukuman dijalankan.

Apabila seseorang lelaki mengaku zina dengan seseorang perempuan dan perempuan itu tidak mengaku salah, maka si lelaki sahaja yang dihukum, kerana inilah keputusan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. seperti yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud.

2) Saksi-Saksi

Fiman Allah (al-Nisa’: 15) yang bermaksud: “Dan sesiapa yang melakukan perbuatan keji (zina) di antara perempuan-perempuan kamu, maka carilah empat orang lelaki di antara kamu yang menjadi saksi terhadap perbuatan mereka.”

Firma Allah (an-Nur:4) yang bermaksud: “Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi…”

Firman Allah lagi (al-Nur:13) yang bermaksud: “Sepatutnya mereka (yang menuduh) membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu. Jika mereka tidak mendatangkan empat orang saksi, maka mereka itu pada sisi hukum Allah, adalah orang-orang yang dusta.”

Orang yang menjadi saksi hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:

1. Baligh lagi berakal. Oleh itu tidak boleh diterima tuduhan yang dilakukan oleh orang gila, kerana cakapnya tidak boleh diterima.

2. Islam, sekiranya tuduhan dilakukan terhadap orang Islam, kerana kesedarannya terhadap perhitungan dosa pahala dan sebagainya. Di samping itu, perkara zina dan liwat ini termasuk dalam hukum hudud Islam yang dinaskan.

3. Mempunyai pancaindera yang sihat. Tidak diterima saksi yang tidak jelas penglihatan, tuli dan bisu.

4. Adil, yakni seseorang yang diketahui tidak melakukan mana-mana dosa besar, dosa kecil secara berterusan dan perkara-perkara yang menjatuhkan maruah, walau pun tidak berdosa.

5. Lelaki, yakni dalam perkara hudud dan qisas. Oleh kerana zina dan liwat termasuk dalam perkara hudud, maka saksi wanita tidak diterima dalam perkara ini.

6. Tiada tohmahan (kekeliruan yang menarik manfaat atau menolak mudarat), berkepentingan dan prejudis seperti menjadi saksi kepada bapa, anak atau majikannya, atau orang yang diketahui bermusuh dengan orang yang dituduh yang akan memburukkannya sahaja. Maka tidak boleh menerima penyaksian saksi yang ada kaitan dengan konspirasi politik dan sebagainya.

7. Bilangan yang cukup. Pada tuduhan zina dan liwat, memerlukan empat orang saksi.

8. Keempat-empat saksi melihat (perbuatan zina dan liwat itu) bersama-sama.

9. Memberi keterangan dalam majlis (persidangan) yang sama.

Saksi dalam tuduhan zina dan liwat bukan sahaja wajib memenuhi syarat-syarat tersebut tetapi juga hendaklah melihat kesalahan itu berlaku mengikut takrifnya secara jelas, yakni melihat anggota kemaluan yang melakukannya secara jelas. Para ulama bersepakat mengatakan bahawa keterangan melalui kesan air mani, pita video dan gambar tidak boleh mensabitkan kesalahan zina dan liwat. Keterangan saksi yang berlapis yang hanya menerima berita dari orang lain (hearsay) juga tidak boleh diterima.

Kesemua perkara tersebut menunjukkan bahawa tuduhan zina dan liwat, tidak boleh dilakukan secara sewenang-wenangnya.

Keterangan-Keterangan Yang Tidak Nyata

Penggunaan kepakaran untuk menganalisa darah dan air mani (atau ujian DNA) bagi mensabitkan kesalahan jenayah hudud seperti zina dan liwat tidak dibenarkan oleh Islam, kerana ada syubhat (kekeliruan). Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

“Hudud hendaklah ditolak (tidak dilaksanakan) dengan adanya syubhat (kekeliruan).”

Ketepatan analisa DNA boleh dipertikaikan kerana banyak kemungkinan-kemungkinan yang boleh menimbulkan keraguan. Sesetengah ulama membenarkan analisa ini untuk menafikan tuduhan sahaja, bukan untuk mengisbatkannya (mensabitkan kesalahan). Para ulama Islam telah menyebut perkara ini di dalam kitab-kitab fiqh, di antaranya Ibn al-Qayyim di dalam kitanya al-Turuq al-Hukmiyyah.

Begitu juga tuduhan tidak boleh disabitkan dengan gambar, pita video, kaset dan sebagainya yang bukan merupakan keterangan secara langsung.

Bersumpah

Tidak diharuskan bersumpah bagi mensabitkan jenayah hudud yang berkaitan dengan hak Allah, seperti zina dan liwat. Bahkan jenayah hudud dan qisas dalam perkara hak manusia juga tidak dibenarkan bersumpah menurut jumhur (kebanyakan) ulama kerana perkara hudud dan qisas yang berhubung dengan hak manusia juga dianggap menyerupai hak Allah.

Yang dimaksudkan dengan bersumpah di sini adalah sumpah mengikut hukum Islam dengan lafaznya yang ditetapkan, bukan seperti yang difahami oleh orang jahil yang mencadangkan supaya sumpah dilakukan secara menjunjung al-Quran, yang menyerupai sumpah yang dilakukan oleh penganut agama Kristian.

Sumber : Tulisan ini dipetik daripada buku “Qazaf: Mangsa Fitnah” (Jabatan Penerangan dan Penyelidikan PAS Pusat, 2001) tulisan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Buku bersifat kontemporari ini diharap dapat merungkaikan persoalan berhubung tuduhan liwat dan qazaf yang dikategorikan sebagai jenayah hudud dalam sistem perundangan Islam.

Tajuk Asal : Pas Bersama PR, Melayu Untung Umno Rugi

Sumber : http://idrisahmad.wordpress.com/

Sejak PAS bersama dengan Pakatan Rakyat, maka terdapat suara sumbang supaya PAS jangan bersama PR, barulah kami akan sokong PAS. Persoalannya ketika PAS bersendirian pun puak ini tidak menyokong PAS juga. Ini hanya golongan mencari alasan sahaja. Sebenarnya mereka ialah orang yang diperalatkan oleh Umno termasuk melalui doktrin yang dibawa melalui Biro Tatanegara.

Berbagai alasan supaya PAS keluar daripada PR, barulah dapat melaksanakan agenda Islam yang lebih terancang, sehingga pipi tersorong-sorong untuk menyuruh PAS berpakat dengan Umno. Sengaja saya meletakkan tajuk ini supaya menjelaskan bahawa Melayu tidak rugi kalau menjauhkan diri daripada Umno. Selama ini pemimpin umno, menganggap Umno sahaja boleh menjaga melayu. Sebenarnya yang rugi bila PAS bersama PR ialah Umno.

Umno rugi kerana tidak dapat memfaraid harta rakyat dengan rakus. Terutama negeri-negeri yang kaya seperti Selangor. Memerintah Selangor seperti memerintah Malaysia kerana di sini ialah lubuk emas. Pemimpin Umno teringin untuk mendapat Selangor sehingga meleleh air liur apabila mengenangkan banyak projek yang selama ini diperolehi oleh suku sakat meraka sudah tidak ada lagi. Selangor ialah sebuah negeri industri, pelabuhan, lapangan terbang dan pusat pengajian tinggi. Jika PAS tidak bersama dengan PR sudah tentu pemimpin Umno menjadi korporat, Melayu merempat.

Umno rugi tidak boleh mematikan majlis ilmu yang diimarahkan di seluruh masjid negeri Pakatan Rakyat. Mereka mengetahui apabila rakyat berilmu dan beragama maka tidak ada harapanlah untuk bersama dengan Umno. Apabila rakyat memahami Islam yang syumul maka rakyat akan mengetahui bahawa Islam yang dihayati oleh Umno tidak menepati dengan kehendak agama yang disampaikan oleh Rasulullah SAW.

Melayu untung bila bersama dengan Pakatan Rakyat kerana dapat mendampingi ulamak yang muttaqin yang sering menyampaikan risalah Islam di masjid dan surau. Samaada melalui ceramah, forum, kuliah dan wacana ilmu. Selama ini orang Melayu dijauhkan dengan ulamak yang muttaqin. Ulamak diburu seperti komunis bintang tiga. Rakyat Selangor tidak akan lupa bagaimana Dato’ Dr Harun Din, almarhum Datuk Ishak Baharom bekas mufti kerajaan Selangor diburu dan hendak ditangkap semata-mata kerana hendak menyampaikan risalah agama.

Sebenarnya Umno yang rugi kerana gagal menjauhkan rakyat dengan ulamak yang muttaqin. Walaupun mereka cuba mempopularkan ulamak mereka melalui media namun selera rakyat tetap tidak beralih kepada ulamak yang Umno taja. Umno rugi kerana ulamak yang muttaqin ini tidak bersama dengan Umno dan tidak sealiran dengan perjuangan Umno, sebaliknya ia lebih selari dengan perjuangan PAS.

Melayu untung kerana dapat menikmati limpahan nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT di negara ini kerana Pakatan memerintah negeri mereka. Selama ini rakyat tidak pernah terfikir mendapat air percuma setiap bulan. Apabila mati waris mendapat wang RM2500. Malahan rakyat yang diperintah oleh Umno begitu cemburu dengan apa yang diperolehi oleh rakyat di negeri PR. Pemimpin Umno tidak pernah terfikir untuk memberi kembali kepada rakyat, yang paling menyedihkan rakyat, apa sahaja program yang dibuat oleh negeri Pakatan Rakyat maka mereka menuduh negeri tersebut akan bankrap.

Umno merasa rugi kerana lebihan wang negeri di kembalikan kepada rakyat. Selama ini wang ini akan masuk ke dalam kantong mereka sendiri, dengan membiarkan rakyat hidup susah. Kesusahan rakyat akan menjadi simpanan tetap Umno setiap kali pilihanraya. Melayu yang senang tidak bersama dengan Umno. Sekarang Melayu senang , pemimpin Umno yang susah.

Melayu untung dapat menyampai dakwah Islam secara bebas menepati dengan manhaj Rasulullah SAW tanpa sekatan. Lebih daripada itu Islam dapat dilihat oleh orang bukan Islam secara praktikal, bukan sahaja teori. Bagaimana rakan-rakan PR yang bukan Islam begitu berminat untuk mengetahui ajaran Islam, fenomena ini berbeza dengan MCA rakan karib Umno walaupun sudah bersahabat hampir 54 tahun tetapi tidak memahami Islam dan sensitiviti orang Islam.

Keceluparan mulut Dr Chua Saw Lek adalah bukti gagalnya Umno mendidik rakan politik mereka. Ucapan beliau yang mengguris perasaan orang Melayu seperti memperlekeh Cikgu Normala Sudirman yang tidak mahu bersalam dengan lelaki yang bukan mahram. Ketika isu ini dibangkitkan maka rakan-rakan bukan Islam dalam PR tolong menjelaskan kepada orang bukan Islam. Inilah manfaat yang cukup berharga diperolehi oleh orang Melayu apabila berjaya menyampaikan Islam kepada bukan Islam. Suasana ini tentulah merugikan Umno, kerana mereka berusaha untuk memastikan supaya orang bukan Islam tidak nampak kebaikan Islam, dengan ini mudah untuk mereka mengekalkan kuasa mereka.

Melayu untung kerana mereka boleh berniaga berdasarkan merit dan kebolehan bukan berdasarkan di mana kamu menjadi ahli cawangan Umno. Trend perniagaan ini telah ditamatkan di bawah Pakatan Rakyat. Keadaan ini merugikan Umno, selama ini mereka hanya bertindak sebagai broker dengan memakan persen sahaja bukan kerana kebolehan mereka. Akhirnya projek kepentingan negara hangus dan hancur kerana diberi kepada bukan ahlinya. Buat stadium runtuh, kapal selam tidak boleh menyelam, jambatan MRR2 retak, semuanya angkara kroni Umno.

Melayu untung kerana dapat melihat orang agama mentadbir negeri dengan baik dan teratur. Selama ini Umno ajar orang Melayu, bahawa ustaz atau Tuan Guru hanya boleh membaca kitab di dalam masjid. Kemampuan Tuan Guru Nik Aziz yang memerintah Kelantan lebih 20 tahun walaupun mempunyai kekangan kewangan namun lebih berjaya daripada negeri yang diperintah oleh Umno.

Begitu juga kemampuan Datuk Seri Ustaz Azizan Razak yang telah menunjukkan rekod cemerlang menguruskan Kedah walaupun terpaksa memikul bebanan hutang peninggalan BN RM2.3 bilion. Apa yang mengejutkan Kedah telah menunjukkan prestasi kewangan dengan lebihan RM19 juta untuk kewangan 2010. Negeri yang diperintah oleh Umno, pengurusan kewangan mereka boleh diletakkan di dalam Wad “ICU”. Jika sekiranya tanpa bantuan pusat mungkin rakyatnya akan dilelong.

Melayu untung apabila PAS bersama dengan PR, kerana taraf hidup rakyat berjaya ditingkatkan. Kebetulan rakyat miskin di negara ini majoriti rakyatnya ialah orang Melayu. Kelantan sewaktu tahun 1990, negeri ini nombor dua termiskin, sekarang berada di tangga keenam. Ini menunjukkan PAS akan berusaha untuk memastikan kualiti hidup rakyat lebih terbela. Ia berlainan daripada tindakan Umno yang mengkhianat orang susah kebetulannya orang Melayu.

Rakyat miskin akan menjadi simpanan tetap Umno setiap kali pilihanraya. Tidak hairanlah kepada kita bagaimana miskin memang dirancang supaya rakyat sentiasa di tahap miskin. Buktinya wang untuk Projek Perumahan Rakyat Termiskin sebanyak RM32 juta lesap. Dana untuk saham bumiputera sebanyak RM52 bilion telah lesap. Dana sebanyak ini membolehkan bumiputera memiliki ekuiti saham lebih 45 peratus.

Ustaz Idris Ahmad

Ketua Penerangan PAS Pusat

%d bloggers like this: