Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid as-Sobirin Kg Sipanggil Putatan

Pada tahun ke 8 Hijrah dalam sejarah Islam, tercatat suatu sejarah yang berlaku di negara Jordan suatu peperangan bernama Peperangan Mu’tah. Ia berlaku disebabkan oleh pengkhianatan terhadap seorang utusan yang telah dihantar oleh Rasulullah s.a.w kepada Raja Busra iaitu Harith bin Umair al-Azdi di mana beliau telah gugur syahid apabila direbus hidup-hidup di dalam kawah air panas.

Peperangan Mu’tah turut mengajar kita bagaimana ketegasan Rasulullah s.a.w terhadap musuh Islam di mana walau pun seorang utusan Islam yang dibunuh namun nyawanya mesti ditebus sehingga dihantar tentera ke Mu’tah dengan motif dakwah terlebih dahulu sebelum melakukan serangan jika musuh tidak mahu tunduk.

Jika Rasulullah s.a.w dan banyak pemimpin Islam zaman silam sanggup menghantar tentera walau pun seorang umat Islam yang dibunuh atau dihina oleh musuh sebaliknya pada hari ini ramai pemimpin umat Islam sendiri sanggup bersekongkol dengan penjenayah dan pengganas dunia iaitu Amerika Syarikat dan zionis yahudi dalam menjajah dan membunuh umat Islam seperti di Palestin, Iraq dan terbaru di Libya.

Kita lihat Libya bakal menjadi Iraq kedua di mana atas alasan mahu menggulingkan pemimpin berkuku besi maka musuh Islam melakukan serangan dan akhirnya ia dijajah dengan pemimpin boneka dijadikan sandaran. Inilah antara amaran nabi Muhammad s.a.w apabila sesebuah negara tidak melaksanakan sistem Islam dan memilih pemimpin yang jahat maka negara tersebut akan dijajah oleh penjajah yang jauh lebih jahat dan kejam.

Peperangan Mu’tah juga menyaksikan bagaimana Rasulullah s.a.w telah melantik tiga panglima perang sekaligus iaitu Zaid bin Harithah di mana jika beliau gugur syahid maka tempatnya akan digantikan oleh sepupu nabi Jaafar bin Abi Tolib dan seterusnya jika beliau turut gugur syahid maka tempatnya akan diganti oleh Abdullah bin Rawahah. Ketiga-tiga panglima perang yang dilantik ini menerima tugas yang diberikan dengan penuh kerelaan di mana mereka yakin bahawa perkataan nabi adalah benar dan mereka tidak sekali-kali merasa takut walau pun dari segi arahan nabi tadi bermakna mereka bertiga akan gugur syahid dalam peperangan nanti.

Pemilihan sebagai pemimpin mesti berlandaskan syarak bukannya hawa nafsu dan rasuah bagi memastikan keadilan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat antaranya ialah mesti sanggup berkorban bukan sahaja harta benda malah jiwa raga dalam mempertahan dan menjulang sistem Islam bukan memilih mereka yang hanya tahu mengumpul kekayaan dengan merompak hasil mahsul negara dan rakyat.

Memilih pemimpin yang sanggup menjaga maruah dan nyawa rakyat jelata bukannya pemimpin yang membiarkan budaya fitnah dan pelanggaran maruah. Memilih pemimpin yang menjadikan Allah sebagai Penguasa yang paling berkuasa sehingga tunduk patuh terhadap segala sistemNya bukannya pemimpin yang hanya melaungkan hak asasi manusia sedangkan hak Allah dilanggar sesuka hati.

Kesungguhan dan kecekalan nabi Muhammad s.a.w dan pejuang Islam dalam menjaga dan mengembangkan dakwah Islam sehingga sanggup gugur syahid di medan perjuangan wajib diteruskan barulah kita dianugerahkan dengan kemuliaan di dunia dan akhirat. Tugas menyebarkan Islam bukan dijanjikan dengan kejayaan yang mudah sebaliknya menuntut kepada penat dan lelah, tidak dihamparkan dengan permaidani merah sebaliknya menuntut kepada tumpahnya darah merah ke tanah.

Kita sepatutnya merasa malu dengan gerakan Kristian contohnya yang begitu bersungguh dalam menyebar luas ajaran mereka termasuk melalui tekanan politik yang membolehkan mereka mengedar Bible berbahasa Melayu. Bagaimana pula dengan usaha kita dalam mempertahankan aqidah umat Islam yang semakin luntur disamping dakwah kepada orang bukan Islam agar mereka sama-sama merasai nikmat iman dan Islam atau sekurang-kurangnya mereka tidak menentang sistem Islam.

Berapa ramai umat Islam yang menyampaikan seruan Islam kepada rakannya yang bukan Islam, berapa ramai yang menghadiahkan buku-buku dakwah Islam kepada mereka yang belum memeluk Islam sedangkan dalam masa yang sama kita marah golongan bukan Islam mengedar risalah agama mereka kepada orang Islam?

Ketika menyoroti sejarah bagaimana umat Islam di China yang mampu mempertahankan agama walau pun ratusan tahun berada di bawah cengkaman komunis antaranya dengan menjaga solat berjemaah sehingga ada masjid bilangan jemaah solat Jumaatnya menjangkau 30 ribu orang manakala hari raya 200 ribu orang.

Dalam masa yang sama kita menunaikan solat jumaat seperti hari ini, berapa ramai pula di kalangan umat Islam khususnya lelaki yang mukallaf yang tidak menunaikan solat Jumaat, masih berada di tempat kerja, melepak di pusat membeli belah, bersembunyi dan mendiamkan diri di rumah atau di pejabat, berada di dalam kenderaan, di jalanraya dan sebagainya? Kita di negara ini wajib merasa gerun dan bimbang sekiranya semakin ramai umat Islam sendiri semakin jahil dan menjauhi cara hidup Islam apatah lagi bilangan orang bukan Islam yang membenci Islam semakin bertambah.