Buku Yang Baru Dibaca :

Penulis : Mohd Aizat Mohd Salleh al-Hafiz

Penerbit : PTS Millennia

Harga : RM15.00 / RM17.00

Agak banyak juga buku-buku yang saya baca berkenaan keperibadian beliau. Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah seorang tokoh yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Kehidupan beragama sejak datuk nenek beliau, susur galur pendidikan diatur sedemikian rupa oleh Allah SWT sehingga beliau terlibat dalam Gerakan Islam – Parti Islam SeMalaysia (PAS), menerajui Majlis Syura  Ulama selaku Mursyidul Am dan memimpin negeri Kelantan sebagai Menteri Besar bertaraf ulama’.

Penulis memulakan tulisan dengan menceritakan latar belakang gerakan Islam seluruh dunia seperti Ikhwan Muslimin di Mesir, Parti Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia, FIS di Algeria, HAMAS di Palestin, Hizbullah di Lubnan, MILF di Filipina dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) sendiri. Demikian juga beberapa catatan berkenaan kehidupan berkeluarga beliau, pendidikan sehingga membawa beliau keluar merantau ke India dan Mesir sebelum mencurah bakti di tanahair.

Antara contoh pemikiran yang diutarakan oleh penulis ialah berkenaan isu kalimah Allah untuk orang bukan Islam, isu perpaduan kaum di Malaysia, pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, pengharaman judi dan arak di Kelantan, isu muzakarah PAS-UMNO, konsert Mawi di Kelantan, royalti minyak Kelantan, kontroversi ‘Allah samseng’, isu orang bukan Islam masuk ke masjid dan membaca al-Quran.