Ini pengalaman pertama menyertai saf para hakim dalam Majlis Tilawah al-Quran dan Hafazan SESB/TNB Peringkat Negeri Sabah yang diadakan di Dewan Persidangan mereka semalam. Saya bersama Ustaz Haji Ghazali Sulaiman, Ustaz Abdul Rahman Talipudin dan Ustaz Haji Mohd Taif Kasim sebenarnya merasa teruja dengan standard penganjuran mereka yang begitu professional sekali.

Mereka sejak beberapa minggu lalu sudah berhubung dengan saya untuk urusan jamaah hakim, sementara kehadiran kami disambut kemas termasuk membuat tempahan khas letak parkir kereta. Majlis juga bermula tepat sebagaimana yang dipaparkan dalam jadual. Lebih menarik, standard dan level surah bagi hafazan kategori kanak-kanak agak mencabar iaitu surah al-Waqi’ah, dan juzu’ 30. Sementara bagi kategori remaja ialah surah al-Mulk, Yasin, Kahfi, dan juzu’ 30.

Khabarnya para pemenang akan meneruskan persaingan ke peringkat kebangsaan bagi MTQ dan Hafazan Tenaga Nasional Berhad yang dijangka berlangsung pada bulan hadapan. Tahniah buat semua yang terlibat.