Archive for 20 Mei 2011


Buku Yang Baru Dibaca :

Penulis : Mohd Aizat Mohd Salleh al-Hafiz

Penerbit : PTS Millennia

Harga : RM15.00 / RM17.00

Agak banyak juga buku-buku yang saya baca berkenaan keperibadian beliau. Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat adalah seorang tokoh yang tidak perlu diperkenalkan lagi. Kehidupan beragama sejak datuk nenek beliau, susur galur pendidikan diatur sedemikian rupa oleh Allah SWT sehingga beliau terlibat dalam Gerakan Islam – Parti Islam SeMalaysia (PAS), menerajui Majlis Syura¬† Ulama selaku Mursyidul Am dan memimpin negeri Kelantan sebagai Menteri Besar bertaraf ulama’.

Penulis memulakan tulisan dengan menceritakan latar belakang gerakan Islam seluruh dunia seperti Ikhwan Muslimin di Mesir, Parti Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia, FIS di Algeria, HAMAS di Palestin, Hizbullah di Lubnan, MILF di Filipina dan Parti Islam SeMalaysia (PAS) sendiri. Demikian juga beberapa catatan berkenaan kehidupan berkeluarga beliau, pendidikan sehingga membawa beliau keluar merantau ke India dan Mesir sebelum mencurah bakti di tanahair.

Antara contoh pemikiran yang diutarakan oleh penulis ialah berkenaan isu kalimah Allah untuk orang bukan Islam, isu perpaduan kaum di Malaysia, pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, pengharaman judi dan arak di Kelantan, isu muzakarah PAS-UMNO, konsert Mawi di Kelantan, royalti minyak Kelantan, kontroversi ‘Allah samseng’, isu orang bukan Islam masuk ke masjid dan membaca al-Quran.

MTQ SESB

Ini pengalaman pertama menyertai saf para hakim dalam Majlis Tilawah al-Quran dan Hafazan SESB/TNB Peringkat Negeri Sabah yang diadakan di Dewan Persidangan mereka semalam. Saya bersama Ustaz Haji Ghazali Sulaiman, Ustaz Abdul Rahman Talipudin dan Ustaz Haji Mohd Taif Kasim sebenarnya merasa teruja dengan standard penganjuran mereka yang begitu professional sekali.

Mereka sejak beberapa minggu lalu sudah berhubung dengan saya untuk urusan jamaah hakim, sementara kehadiran kami disambut kemas termasuk membuat tempahan khas letak parkir kereta. Majlis juga bermula tepat sebagaimana yang dipaparkan dalam jadual. Lebih menarik, standard dan level surah bagi hafazan kategori kanak-kanak agak mencabar iaitu surah al-Waqi’ah, dan juzu’ 30. Sementara bagi kategori remaja ialah surah al-Mulk, Yasin, Kahfi, dan juzu’ 30.

Khabarnya para pemenang akan meneruskan persaingan ke peringkat kebangsaan bagi MTQ dan Hafazan Tenaga Nasional Berhad yang dijangka berlangsung pada bulan hadapan. Tahniah buat semua yang terlibat.

%d bloggers like this: