Selasa yang tenang dan damai, memasuki gerbang Bandaraya Kota Kinabalu terasa lengang sempena cuti Hari Wesak. Tentu sekali tengahari semalam satu sejarah yang sangat bermakna buat Muhammad Rafli, 19 tahun yang memeluk Islam di sebuah hotel di tengah bandaraya Kota Kinabalu. Majlis ringkas itu berlangsung selepas solat zuhur dihadiri oleh beberapa orang rakan sekerjanya.

Rafli yang berasal dari Kota Marudu, kemudiannya diajar perkara-perkara asas dalam bab wudhu’ dan solat agar beliau boleh terus menunaikan solat fardhu selepas ini dengan melakukan sekadar perkara-perkara rukun sahaja. Terima kasih sdr Anizan Makruf yang mengatur program pengislaman, juga Ustaz Arbaen dan Ustaz Hamir yang membantu mengajar asas wudhu dan solat kepada Rafli dan Nikcholas yang terlebih dahulu memeluk Islam beberapa hari sebelumnya.