Archive for 18 Mei 2011


Buku Yang Baru Dibaca :

(Ada stok terhad buku ini bersama saya. Sila hubungi jika berminat, sekitar Kota Kinabalu saja).

Penulis : Bob Lokman & Ridhuan Mohamad Nor

Penerbit : Jundi Resources

Harga : RM16 / RM18

Anak remaja ini seolah-olah melepaskan rasa dendam semasa kecilnya yang dipasung oleh bapa yang sangat prihatin dengan akhlak anaknya. Ini kerana mereka adalah legasi Tok Kenali, ulama tersohor Tanah Serendah Sekebun Bunga. Dia menggelinjang keseronokan berada di wilayah baru tanpa ayah garang yang melotot pandangan mata yang tajam. Dia berlari sesuka hati dan menjadi tarikan pesona kepada bajingan tengik di asrama yang ditakluknya sebagai ‘wilayah jajahan’.

Hukum karma akhirnya menerkam dan menikam ubun-ubunnya yang hijau di dataran kehidupan yang berupa pentas opera. Bob Lokman terkucil dengan keonaran yang diciptanya sendiri. Dia terhukum kejam dengan dibuang asrama. Bagaimana akhirnya anak muda kail panjang sejengkal ini mengharungi hidup selepas SPM dan tanpa kertas maruah yang bernama ijazah, beliau menempuh carut-marut kehidupan di tengah bandaraya Kuala Lumpur yang tidak bersahabat dengan manusia malas. Dia menjadi pemandu bas dengan menyanyi riang di tengah hiruk-pikuk anak sekolah yang melemaskan, berniaga kecil-kecilan untuk menampung kehidupan, dan menjadi kuli kasar di gedung studio.

Bob Lokman akhirnya terselit di tengah-tengah fenomena rock pada dekad 1980-an. Dia menjadi pencipta lirik yang akhirnya di tengah keriuhan anak seniman, dia terus membina nama di persada seni tanah air. Bob Lokman tersungkur dengan kegemerlapan namanya. Dia tersadung dengan kesakitan. Keperitan dan kejerihan hidup bertindan-tindih menerpa, meluluh lantak jiwa seorang bapa dan suami. Ujian demi ujian yang akhirnya menyeruak dunia kegelapan kepada jalan hidup berfikir.

Dia akhirnya menyapa hidayah Tuhan yang datang, dan kini sanggup berdada dengan sebongkah ujian. Dia sanggup menjalani kehidupan yang sederhana, membuang pakaian kesombongan yang dipakainya dalam dunia seni dengan seribu sihir yang memukau. Dia telah merasai dunia ketawa, dan kini tibalah masanya untuk dunia menangis, bersama gerakan Islam untuk memanggil insan lain bagi bersama-sama merengkuh kasih-sayang Tuhan, Sang Pencipta yang penuh dengan sifat Ar-Rahman dan Ar-Rahim.

“Aku akan mati berjuang bersama dakwah dengan panduan alim ulama. Doakan aku teman…” ujar Bob Lokman dengan lirih, juga memanggil seluruh peminatnya untuk berada di jalan hidayah ini. – TRAVELOG HIDAYAH : AKU, ISABELLA DAN TOK KENALI.

Selasa yang tenang dan damai, memasuki gerbang Bandaraya Kota Kinabalu terasa lengang sempena cuti Hari Wesak. Tentu sekali tengahari semalam satu sejarah yang sangat bermakna buat Muhammad Rafli, 19 tahun yang memeluk Islam di sebuah hotel di tengah bandaraya Kota Kinabalu. Majlis ringkas itu berlangsung selepas solat zuhur dihadiri oleh beberapa orang rakan sekerjanya.

Rafli yang berasal dari Kota Marudu, kemudiannya diajar perkara-perkara asas dalam bab wudhu’ dan solat agar beliau boleh terus menunaikan solat fardhu selepas ini dengan melakukan sekadar perkara-perkara rukun sahaja. Terima kasih sdr Anizan Makruf yang mengatur program pengislaman, juga Ustaz Arbaen dan Ustaz Hamir yang membantu mengajar asas wudhu dan solat kepada Rafli dan Nikcholas yang terlebih dahulu memeluk Islam beberapa hari sebelumnya.

%d bloggers like this: