Archive for 16 Mei 2011


PUGUT & PEMUGUT

Lokasi : Kawasan parkir terbuka, antara Rumah Persekutuan dan bangunan Persatuan India dengan Maktab Sabah. Nampaknya, pagar dikoyakkan seperti untuk memendekkan jarak perjalanan dari kawasan parkir ke bangunan berkenaan.

Suatu hadith yang terkenal selalu diungkapkan oleh ulama sebagaimana bermaksud : “Kebijaksanaan itu umpama barang tercicir milik orang beriman, di mana sahaja didapatinya, maka orang beriman lebih layak menggunakannya”.

Allah SWT menjadikan manusia sebaik-baik kejadian. Mempunyai akal fikiran di samping panduan wahyu-Nya yang wajib diikuti. Dengan akal fikiran itu manusia mencipta pelbagai teknologi untuk kemajuan hidup manusia. Teknologi itu pula adakalanya merosakkan manusia dan ada pula yang membawa kebaikan kepada manusia, terpulang pula kepada mereka yang memanfaatkannya.

Tidak lama dahulu saya pernah menulis tentang penggunaan blog dan facebook untuk manfaat dakwah Islam. Bahkan saya pernah membentangkan hal ini dalam satu program dakwah bersama penggerak dakwah JAKIM peringkat kebangsaan di Kundasang. Dalam program atau majlis tertentu, sama ada perasan atau tidak ramai yang menggunakan teknologi bagi memudahkan perjalanan majlis. Penggunaan sistem pembesar suara, lcd, dan seumpamanya.

Bayangkanlah dengan teknologi hari ini, maklumat boleh dikongsi dengan pantas melalui capaian internet. Proses rakaman ceramah menggunakan kamera video, kamera digital atau DSLR, disiarkan lewat youtube, umpamanya. Penulisan dan percetakan buku tidak sesukar zaman dahulukala, jika kita bandingkan zaman ulama silam menulis dan menyebarkan tulisan mereka demi dakwah dan Islam yang tercinta. Namun mereka sesukar itu tetap bekerja dan bergerak untuk menyebarkan Islam. Saya pernah mendengar kisah pendakwah bermusafir ke Sipitang memakan masa sehari suntuk pada tahun-tahun 70an sedangkan kini hanya sekitar 2 jam dari Kota Kinabalu.

Dalam pertemuan dan mesyuarat penyemakan al-Quran bersama rakan-rakan ahli lajnah al-Quran KDN, kami seringkali dihadapkan dengan pemeriksaan al-Quran berbentuk digital. Ia mesti kami pelajari secara pantas agar dapat memeriksa kandungan al-Quran di dalamnya. Bahkan banyak sekali perisian digital seumpama itu memuatkan tafsir al-Quran,  ribuan hadith Rasulullah SAW dan sebagainya. Ketika bertemu dengan pegawai kanan proton beberapa bulan lalu pun ada mendedahkan hasrat proton untuk mencipta GPS sendiri yang terdapat di dalamnya perisian arah qiblat dan tilawah al-Quran untuk manfaat pengguna terutama yang muslim.

Saya gembira sekali dalam ketika teknologi Samsung Galaxy Tab dan iPad yang semakin popular dan menjadi fenomena, saya menemui dan melihat mereka yang memanfaatkannya untuk perkara baik. Dalam tilawah al-Quran Negeri Sabah baru ini, saya mendapati beberapa audien yang menggunakan Samsung Galaxy Tab yang memuatkan perisian al-Quran, mereka menyemak bacaan qari dan qariah bersama-sama sejak awal sehingga berakhir majlis.

Demikianlah orang pintar, menggunakan apa sahaja untuk manfaat Islam yang akhirnya mudah-mudahan menjadi jambatan yang membawanya ke syurga. Insya Allah.

%d bloggers like this: