Archive for 15 Mei 2011


KEMBARA ATIQ WAZIF

Buku Yang Baru Dibaca :

Penulis : Hasan Suyut
Penerbit : Galeri Ilmu
Harga : RM24.50 / RM26.50

Berkejar Dengan Masa Demi Seorang Anak Istimewa

Buku ini merupakan catatan pengalaman seorang ayah dalam membesarkan seorang anak istimewa bernama Atiq Wazif. Penulisnya, Hasan Suyut, seorang jurutera dan ahli korporat, merakam ketabahan anak kecilnya menanggung kesakitan dan kesengsaraan, ketekunan dan keberanian mengharungi rawatan yang menyakitkan sejak usia si anak masih bayi hingga sekarang, 8 tahun.

Walaupun pakar perubatan telah mengatakan, “Jangan mengharap sangat dari anak ini, dia tidak akan membesar secara normal,” penulis sebagai ayah, tidak pernah patah semangat.

Berkejar dengan masa dalam ikhtiar memulihkan anaknya, penulis membawa keluarganya merentas benua – ke Beijing di Negeri China, ke Timur Tengah, dan seterusnya ke Amerika Syarikat. Hasan bersama isteri dan lima anak mereka kini bermastautin di Florida, AS, meninggalkan sanak-saudara dan kerjaya dalam syarikat yang sedang meningkat naik. Isterinya Dora yang merupakan seorang pendidik cemerlang, sanggup mengambil cuti demi anak yang dikasihi.

Penulis menyulam penulisannya dengan kisah suka-duka yang mewarnai hubungan kekeluargaan dan cerita cinta suami isteri. Dari seorang bapa dan suami yang terlalu sibuk dengan kerjaya hingga kurang memberi perhatian kepada keluarga, kehadiran Wazif benar-benar memberi sinar baru dalam kehidupan penulis sekeluarga.

Kelahiran Wazif memang dirasakan sebagai satu anugerah daripada Allah. “Abang ingat tak masa Wa mengandungkan Wazif dulu, banyak benda-benda pelik berlaku. Mungkin Allah nak beri isyarat pada kita supaya kita bersedia untuk menerima anugerah ini,” kata si isteri pada satu ketika. Kata-kata ini cukup memberi bekas di hati penulis dan menjadi ‘turning point’ yang merubah kehidupan mereka sekeluarga.

Gaya penulisan buku ini, seperti kata Hj. Abu Hassan Morad (pemenang Anugerah Sastera Perdana 2002) yang tercatat di kulit belakang buku, “Cukup mengesankan…. menepati konsep Drama in Real Life!”

Penceritaannya sangat terperinci, mirip gaya novel. Latar masa, latar tempat, perlukisan watak dan setiap patah dialog, begitu segar. Kisah alam mistik perubatan Melayu turut melatari anekdot tangisan dalam tawa, suka dalam duka, susah dan senang yang diharungi oleh penulis sekeluarga…

Konflik mempunyai anak istimewa, konflik rumah tangga dan babak-babak mencemaskan yang diceritakan semula dengan begitu baik, menjadikan buku ini penuh elemen dramatik. Tidak hairanlah seorang pengarah program pendidikan khas di Florida, AS memberitahu penulis, “You can make a movie out of this!”

Menariknya, di bahagian kedua buku ini disertakan Bacaan Bonus, di mana penulis berkongsi segala yang dilalui dan segala yang dipelajari melalui beberapa penulisan yang ditemuinya sepanjang menelusuri kembara anaknya Wazif. Juga berdasarkan pengalaman bertemu beberapa insan yang memberikan impak besar dalam kehidupan seharian mereka sekeluarga. Ada beberapa penulisan di dalam bahagian ini yang penulis yakin akan memberi manfaat yang besar kepada ramai ibu bapa.

Siapa tahu, kisah Hasan dan anaknya ini akan difilemkan satu hari nanti… Dalam emelnya kepada editor buku ini, Hasan menyatakan keyakinannya, jika buku ini difilemkan dan watak dirinya dimainkan oleh Denzel Washington, filem itu mungkin akan menjadi box-office!

%d bloggers like this: