Archive for 14 Mei 2011


Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sabah bagi tahun 1432H / 2011M berakhir sudah malam tadi. Setelah dua tahun MTQ Negeri berada di luar ibu negeri (2009 di Tawau dan tahun 2010 di Sandakan), maka tuan rumah kembali ke Kota Kinabalu setelah dikhabarkan tiada daerah yang menawarkan diri sebagai tuan rumah kali ini.

Dewan Saadah Wisma MUIS sudah mulai penuh sekitar jam 7.30 malam dengan kehadiran umat Islam dan tetamu terpaksa bersesak di laluan masuk. Namun pihak penganjur ada menyediakan layar di ruang lobi untuk mereka sama-sama menyaksikan MTQ kali ini. Saya sempat menyapa beberapa peminat MTQ yang datang dari Sipitang, Beaufort, Keningau, Kota Marudu, Ranau dan lain-lain.

Saya berpendapat, hasil daripada pendengaran sendiri, mutu bacaan qari qariah seramai 8 orang tahun ini agak merosot terutama bahagian qariah. Telahan ini saya buat apatah lagi memandangkan pihak pengacara tidak mengumumkan markah yang diperolehi oleh peserta. Masih kedapatan kesalahan besar seperti tersalah baris, membaca secara mad asli pada yang tidak sepatutnya, waqaf ibtida’ yang kurang sesuai, suara yang kasar, serak dan tidak manis, serta lari daripada tarannum yang diarahkan.

Tahniah buat Sdr Razman Asmat dari Kinabatangan dan Hajah Siti Hatijah Haji Marzuki wakil Lahad Datu yang diangkat sebagai johan qari dan qariah kali ini. Saya kira, program-program mencungkil bakat tilawah al-Quran mesti digembleng secara bersungguh-sungguh oleh semua pihak bermula daripada kecil sehinggalah dewasa. Tahniah juga buat semua AJK Induk dan AJK Pelaksana serta urus setia yang bertungkus lumus. Mudah-mudahan ada baiknya untuk kita semua.

Khatib : Abu Nuha

Lokasi : Masjid Nurul Ihsan Kg Lok Kawi Baru

HARI PEKERJA

Hari Pekerja yang disambut setiap 1 Mei bagi mengenang jasa para pekerja yang mengerah segala usaha dan tenaga dalam memajukan pelbagai sektor yang membawa kepada kemajuan negara. Apabila kita bercakap berkenaan dengan kerja maka Islam menggalakkan umatnya bekerja dengan mengikut lunas yang telah disyariatkan antaranya mestilah kerja itu adalah halal bukannya terlibat dengan perniagaan haram seperti arak, judi, riba dan sebagainya.

Islam tidak melarang umatnya daripada bekerja dan mencari harta kekayaan asalkan menjaga batas syarak seperti menutup aurat, menjaga pergaulan antara pekerja lelaki dan perempuan, amanah dalam melaksanakan tugasan dengan menjauhi pecah amanah, rasuah dan sebagainya. Kita tidak mahu umat Islam terkena racun yang disuntik oleh jarum yahudi yang menggalakkan pergaulan bebas antara pekerja yang menyebabkan berlakunya gangguan seks di tempat kerja.

HARI IBU

Tidak salah untuk kita turut meraikan Hari Ibu dengan syarat kita tetap tidak mengabaikan kebajikan terhadap ibu kita pada hari-hari lain. Betapa ramai umat Islam sendiri pada hari ini yang kurang memberi perhatian sewajarnya terhadap ibu sedangkan ibu inilah yang berpenat lelah mengandung kita dalam kandungan selama 9 bulan seterusnya menyabung nyawa ketika melahirkan kita.

Sikap mengejar kebendaan antara penyakit utama yang menyebabkan ramai ibu yang dipinggirkan. Ada yang rasa sudah cukup sekadar menghulurkan wang bulanan atau menyerahkan ibu untuk dijaga di rumah orang-orang tua. Apa yang malang apabila anak-anak ini tanpa rasa bersalah mengungkitkan segala pemberian mereka kepada ibu sedangkan mereka wajib sedar bahawa harga setitik air susu ibu tidak mampu dibayar dengan harta benda dunia.

HARI BELIA

Islam meletakkan harapan yang penting kepada para belia sebagai penerus perjuangan menegakkan dakwah Islam. Ingatilah pejuang-pejuang awal Islam pada zaman Nabi SAW adalah merupakan orang-orang muda yang berani menghadapi cabaran dan tekanan. Ingatilah Ali bin Abi Talib, Umar al-Khattab, Muaz bin Jabal, Abdullah bin Abbas, Abdullah bin Mas’ud dan sekian ramai sahabat yang berani mengorbankan harta dan jiwa kerana Islam.

Al-Quran merakamkan satu kisah hebat di dalam surah al-Kahfi berkenaan sekumpulan pemuda yang berani mempertahankan aqidah Islam, tidak mahu mengikut paksaan pemerintah yang zalim yang menyuruh mereka murtad. Hadith Nabi SAW juga ada merakamkan pengiktirafan kepada pemuda tekun beribadah kepada Allah akan mendapat naungan pada hari kiamat kelak.

HARI GURU

Setiap 16 Mei pula disambut Hari Guru bagi mengenang jasa guru yang melahirkan manusia berjasa termasuk pemimpin negara. Kepada para guru, kita ungkapkan sebuah hadith Rasulullah SAW : “Orang yang menunjukkan ke arah kebaikan, dia mendapat pahala seperti orang yang melakukannya”. Pada hari ini kita bercakap berkenaan penderhakaan terhadap guru yang begitu ketara sehingga berlakunya bermacam jenayah terhadap guru.

Tanpa didikan agama, manusia seolah-olah tidak memilikii matlamat hidup yang jelas dan tidak berasa takut untuk melakukan sesuatu perkara biarpun bercanggah dengan agama. Indeks gejala sosial semakin melonjak adalah disebabkan institusi keluarga yang pincang, cetek pendidikan agama, pembangunan tidak seimbang, pengaruh media massa dan rakan sebaya. Kita hidup dalam zaman fitnah di mana harta dipuja agama dihina, dunia dikejar akhirat ditinggal.

(Idea khutbah dari blog ekhutbah.wordpress.com)

%d bloggers like this: