Notis yang diberikan sangat singkat iaitu sekitar 2 jam sahaja. Namun hasrat untuk membantu meringankan beban sahabat yang kurang sihat, saya gagahkan juga untuk hadir mengganti beliau yang memohon sangat agar saya tampil di SM La Salle Tanjung Aru bagi mengisi program pada jam 8.15 pagi.

Mulanya saya kehairanan juga apabila tajuk yang dikirim lewat SMS (oleh ustaz yang keuzuran tadi) ialah ‘Budaya Kerja Cemerlang’. Katanya untuk guru dan pelajar sekolah berkenaan, namun tajuk itu saya ikutkan saja barangkali mengingati hari pekerja walaupun ceramah di hadapan ratusan pelajar. Jadi otak saya pun ligat menyusun idea dan mood saya juga diarahkan untuk berfikir soal budaya kerja cemerlang.

Kurang sejam, saya menerima SMS pula daripada seorang ustaz bagi pihak penganjur sekolah berkenaan.

“Jadi boleh ceramah hari guru?” 

Ketika itu saya baru hendak keluar rumah. Saya pantas mencari sebuah buku yang berkaitan tentang keutamaan ilmu dan ulama’. Barangkali boleh dibaca dalam kesesakan lalulintas nantinya. Mood awal saya yang sudah bersedia untuk ceramah tentang kerja, terpaksa diubah untuk ceramah sempena hari guru. Ini adalah pengalaman pertama saya berceramah atas tajuk ini, ditambah pula dengan suasana kelam kabut dan tanpa persediaan yang secukupnya.

Penganjur mendahulukan slot nasyid yang menarik sebelum saya tiba di lokasi. Sebenarnya, tidak banyak yang saya perkatakan di atas pentas dalam tempoh 40 minit melainkan berlegar soal kewajiban pelajar menghormati guru dan ilmu, menjaga amanah nikmat yang diberikan oleh Allah SWT sewaktu muda agar mengisi dengan perkara dan aktiviti berfaedah kerana semua amal baik buruk akan dibentangkan di mahkamah Allah SWT.

Untuk semua guru, selamat hari guru saya ucapkan. Jasa yang tidak terhitung, hanya Allah SWT yang mampu membalasnya. “Orang yang menunjukkan ke arah kebaikan, dia mendapat ganjaran seperti orang yang melakukannya” – Demikian maksud hadith Rasulullah SAW.