Archive for 13 Mei 2011


CERAMAH HARI GURU DI SM LA SALLE

Notis yang diberikan sangat singkat iaitu sekitar 2 jam sahaja. Namun hasrat untuk membantu meringankan beban sahabat yang kurang sihat, saya gagahkan juga untuk hadir mengganti beliau yang memohon sangat agar saya tampil di SM La Salle Tanjung Aru bagi mengisi program pada jam 8.15 pagi.

Mulanya saya kehairanan juga apabila tajuk yang dikirim lewat SMS (oleh ustaz yang keuzuran tadi) ialah ‘Budaya Kerja Cemerlang’. Katanya untuk guru dan pelajar sekolah berkenaan, namun tajuk itu saya ikutkan saja barangkali mengingati hari pekerja walaupun ceramah di hadapan ratusan pelajar. Jadi otak saya pun ligat menyusun idea dan mood saya juga diarahkan untuk berfikir soal budaya kerja cemerlang.

Kurang sejam, saya menerima SMS pula daripada seorang ustaz bagi pihak penganjur sekolah berkenaan.

“Jadi boleh ceramah hari guru?” 

Ketika itu saya baru hendak keluar rumah. Saya pantas mencari sebuah buku yang berkaitan tentang keutamaan ilmu dan ulama’. Barangkali boleh dibaca dalam kesesakan lalulintas nantinya. Mood awal saya yang sudah bersedia untuk ceramah tentang kerja, terpaksa diubah untuk ceramah sempena hari guru. Ini adalah pengalaman pertama saya berceramah atas tajuk ini, ditambah pula dengan suasana kelam kabut dan tanpa persediaan yang secukupnya.

Penganjur mendahulukan slot nasyid yang menarik sebelum saya tiba di lokasi. Sebenarnya, tidak banyak yang saya perkatakan di atas pentas dalam tempoh 40 minit melainkan berlegar soal kewajiban pelajar menghormati guru dan ilmu, menjaga amanah nikmat yang diberikan oleh Allah SWT sewaktu muda agar mengisi dengan perkara dan aktiviti berfaedah kerana semua amal baik buruk akan dibentangkan di mahkamah Allah SWT.

Untuk semua guru, selamat hari guru saya ucapkan. Jasa yang tidak terhitung, hanya Allah SWT yang mampu membalasnya. “Orang yang menunjukkan ke arah kebaikan, dia mendapat ganjaran seperti orang yang melakukannya” – Demikian maksud hadith Rasulullah SAW.

SY @ Abang Jem @ Mak Neng.

Salih Yaacob kahwin isteri ke-4 selepas Aidilfitri

Oleh Syed Mu’az Syed Putra

May 12, 2011

KUALA LUMPUR, 12 Mei — Pelakon dan pelawak terkenal Salih Yaacob bakal melangsungkan perkahwinan buat kali keempat dengan seorang gadis yang hanya mahu kenali sebagai Emi, 24 tahun. Menurut Harian Metro, gadis manis dari Johor itu bakal disunting Salih, 50, sebagai suri hidupnya, sekali gus melengkapkan kuota poligami penyampai radio Sinar FM yang sudah diamalkan sejak puluhan tahun lalu.

Majlis perkahwinan pasangan berkenaan dijangka berlangsung selepas Aidilfitri ini berikutan kesibukan Salih menguruskan kerjayanya ketika ini selain mahu menyelesaikan beberapa urusan mahkamah berkaitan urusan kebenaran berpoligami. Dalam poligami aman dengan tiga isteri, Salih telah dikurniakan 11 zuriat. Menurut Emi, dia tertarik dengan hidung Salih selain memenuhi kriteria lelaki pilihannya.

“Abang (Salih) comel, saya paling suka hidung dia yang mancung kerana itu juga kriteria lelaki idaman saya,” katanya. Menurut Emi, walaupun hidung Salih menjadi antara tarikan padanya, namun dia tidak menetapkan kelebihan fizikal sebagai teras utama memilih suami sebaliknya keikhlasan dan sifat dalaman seseorang lelaki yang sentiasa diberi keutamaan dalam melayari bahtera rumah tangga.

“Rupa paras perkara kedua, bagi saya yang lebih penting sifat dalaman yang ada pada diri bakal suami dan saya nampak ciri-ciri itu pada abang, malah dia banyak mengajar dan membentuk saya menjadi insan baik dalam mendepani perjalanan hidup. Saya sukakan dia yang menitik berat ajaran agama, cara dia membimbing 11 anak dan tiga isteri, sebab saya terfikir macam mana dia boleh mengurus keluarga besar dengan masing-masing hidup aman damai . . . dia ceritakan semuanya dan dari situ saya tertarik.

“Faktor itu yang buat saya mahu tahu lebih mendalam lagi. Saya akui perkara itu membuatkan abang berbeza daripada lelaki lain. Kalau lelaki lain mulut saja manis, tapi kosong, abang tidak begitu, dia ada isu,” katanya. Menceritakan detik perkenalan mereka, Emi memberitahu dari awalnya dia tidak berminat untuk mengenali Salih secara rapat memandangkan pertemuan mereka atas dasar antara peminat dengan artis di satu pementasan di Pulau Pangkor, Perak, November lalu.

“Ketika itu saya tidak rasa apa-apa, cuma mahu bergambar dengannya saja apatah lagi semua orang tahu abang sudah berkeluarga dan mengamalkan poligami. Bermula dari keinginan untuk tahu bagaimana dia menguruskan isteri-isterinya membuatkan hubungan kami rapat dan saling berbalas SMS dan panggilan telefon. Abang pandai mengambil hati dan layanannya membuatkan saya terpaut,” katanya.

Penuntut sarjana bidang pengangkutan di sebuah institusi pengajian tinggi itu turut mengakui bukan mudah untuk dia menyakinkan keluarganya bagi menerima Salih memandangkan poligami tidak dijadikan amalan dalam keluarga termasuk di kalangan sanak saudara. Katanya, selepas empat bulan perkenalannya dengan Salih, baru dia memberanikan diri untuk berterus terang di hadapan ahli keluarga dan kakak sulung menjadi orang pertama diberitahunya sebelum kakaknya berjumpa sendiri dengan Salih.

“Sebelum itu saya kerap solat hajat, istiqarah memohon petunjuk dan akhirnya selepas dijelaskan mengapa saya memilih abang, ibu dan ayah menerimanya. Malah ibu sempat berpesan supaya saya menjaga diri sebab tahu perkara ini bukan mudah. Apapun saya masih belajar mendalami ilmu terutamanya aspek rumah tangga dan ‘bekalan’ yang diberi abang akan saya pegang dan amalkan serta paling penting menjadikan al-Quran sebagai teras membentuk perjalanan hidup ini.

“Saya sudah bersedia menempuh alam rumah tangga bersama dia dan isteri serta anak-anaknya . . . insya-Allah,” katanya yang kini menjadi pembantu peribadi Salih. Sementara itu, Salih berkata dia tidak mengambil Emi sebagai isteri secara suka-suka sebaliknya anak bongsu daripada lima beradik itu sudah dititipkan dengan bekalan ilmu agama dan rohani yang membolehkannya menjadi isteri taat dan umat Islam sejati.

“Sebelum menyuntingnya saya sudah asuh dia, bimbing dan sediakan dia dengan bekalan yang diperlukan. Kalau tidak dia tak boleh ‘follow’. Bukan mudah kerana dia muda tapi sebab saya penyampai amanah dan perkahwinan satu ibadat. Setiap hari saya akan memperingatkan dia, memberikan nasihat dan panduan tidak mahu tersasar. Alhamdulillah dia seorang yang patuh dan mengenal arah tuju hidup ke jalan Allah. Apapun proses pembelajaran itu tidak pernah habis dan ia masih berterusan,” katanya.

%d bloggers like this: