Satu majlis ringkas tetapi bermakna bagi kami semua – ahli-ahli Lajnah Tashih al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) ialah Majlis Penghargaan Bersama Dato’ Haji Wan Mohammad bin Dato’ Sheikh Abdul Aziz, mantan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang baru bersara pada 22 April lalu. Majlis berkenaan diadakan di hotel quality, pada malam sabtu.

Dalam ucapannya, Dato’ Wan menggesa JK Lajnah Tashih al-Quran ini lebih berinovasi dalam mendepani cabaran penjagaan al-Quran khususnya pada zaman teknologi ini. Ada tiga perkara yang dicadangkan oleh beliau, pertama lajnah ini berusaha untuk mencipta kandungan pendidikan al-Quran yang bermanfaat kepada umat Islam bahkan kepada yang bukan Islam juga.

Kedua, beliau mencadangkan agar muzakarah serantau bersama ahli lajnah tashih diadakan. Buat permulaan muzakarah berkenaan mengundang ahli-ahli lajnah peringkat ASEAN, sebelum diangkat ke peringkat lebih tinggi seperti mengundang negara-negara Islam yang lain. Muzakarah berkenaan isu-isu penjagaan al-Quran dan seumpamanya menjadi objektif dan matlamat ia diadakan.

Ketiga, beliau turut mencadangkan agar lajnah tashih mengambil manfaat kehadiran 10 pensyarah dari Universiti al-Azhar yang bertugas di Malaysia khususnya di JAKIM. (JAKIM telah bekerjasama dengan Universiti al-Azhar  untuk mendapatkan tenaga-tenaga pengajar). Kepakaran mereka boleh dimanfaatkan dalam kerja-kerja pentashihan termasuk di dalam lembaga atau urus setia kawalan teks al-Quran.

Terdahulu, Pengerusi Lajnah Tashih al-Quran Datuk Sheikh Mohammad Nor Mansor al-Hafiz bagi pihak seluruh ahli lajnah mengucapkan setinggi penghargaan kepada Dato’ Wan Mohamad atas jasa besar yang ditinggalkan selama berkhidmat untuk Islam. Katanya, hubungan akrab yang lama terjalin khususnya sejak beliau menjadi pengetua Darul Quran pada akhir 90an sehingga menjadi Ketua Pengarah JAKIM telah memartabatkan JAKIM dan institusi-institusi Islam yang lain seperti yang ada sekarang ini dan ia sewajarnya diteruskan oleh KP JAKIM yang baru.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Ketua Pengarah JAKIM yang baru Ustaz Othman Mustafa, Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran Encik Abdul Aziz Mohd Nor, timbalannya Ustaz Mohd Nawi Bakar, semua ahli lajnah tashih al-Quran serta urus setia Unit  Kawalan Teks al-Quran. Majlis berakhir pada jam 10 malam.