Bertemu lagi dengan seluruh ahli Lajnah Tashih al-Quran, kali ini kembali ke Hotel Quality Kuala Lumpur. Baru dua malam pulang ke Kota Kinabalu, kali ini datang pula memenuhi kerja-kerja penyemakan dan pengesahan mashaf sama ada berbentuk teks, digital atau pen al-Quran yang agak banyak kali ini. Keseluruhannya setiap ahli yang hadir (kali ini seramai 34 orang, kecuali Dato’ Salahuddin yang menunaikan umrah) menyemak sekitar 45-46 juzu’ seorang.

Sangat jelas permintaan untuk menyemak dan mengesahkan al-Quran berbentuk digital sangat tinggi sekali. Sebagai contoh, daripada 46 juzu’ yang saya terima keseluruhan, ada 30 juzu’ adalah al-Quran digital dan al-Quran telefon bimbit. Daripada segi dakwahnya, ia adalah sangat baik untuk menyebarluaskan pembacaan al-Quran bahkan teknologi ini dilengkapi pula dengan terjemahan dalam bahasa Melayu, himpunan hadith-hadith dan sebagainya.

Hanya teknologi seumpama ini sangat terdedah kepada kesilapan dan kerosakan seperti yang berkait dalam soal rasm (tulisan), dhobt (tanda), dan tilawah (bacaan) kerana kebanyakan al-Quran digital menggabungkan video dan audio. Ertinya ada paparan teks al-Quran sekaligus qari yang membacanya, yang kedua-duanya perlu disemak oleh ahli lajnah. Sekiranya qari membaca dengan terlalu perlahan, maka masa yang lama akan diambil untuk menyelesaikan satu-satu juzu’.

Alhamdulillah, pada pertemuan kali ini saya sendiri dapat menyelesaikan semakan terakhir sehingga jam 4 pagi sebelum mesyuarat terakhir diadakan pada jam 10 pagi. Mudah-mudahan kerja-kerja ini diberkati oleh Allah SWT dalam rangka untuk memelihara al-Quran daripada diselewengkan oleh musuh-musuh Islam.