Archive for 5 Mei 2011


PESTA BUKU 2011

Telaga Biru antara lokasi yang sesak dan padat dengan pengunjung.

Allah SWT mentakdirkan lokasi penginapan kami yang ditanggung percuma itu hanya sekitar 10 minit berjalan kaki ke bangunan PWTC, lokasi Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur berlangsung antara 22 April hingga 1 Mei lalu. Kami pula memilih untuk berangkat pada 30 April dan berkunjung ke tapak pesta pada hari terakhir.

Dari rumah kami keluar sekitar jam 8.00 pagi untuk bersarapan di gerai-gerai berhampiran dan memulakan pengembaraan mencari buku mengikut selera masing-masing pada jam 9.30 pagi, tepat pada masa pintu dibuka untuk masuk. Kami memutuskan untuk berpisah dan berhubung lewat SMS sahaja. Suasana memang sesak dengan pencinta buku. Barangkali ini kesempatan terakhir untuk memborong sebanyaknya disamping mencari potongan harga diskaun yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat buku yang terlibat.

Sejak awal melihat orang ramai berpusu-pusu menunggu untuk masuk sebelum pintu dibuka, saya tambah teruja melihat gerai pertama di pintu masuk adalah Galeri Ilmu Sdn Bhd. Sedikit sebanyak saya ada memiliki buku terbitan mereka khususnya buku-buku Ustaz Hasrizal Abdul Jamil @ Saifulislam. Saya meronda-ronda sebentar dan berbaris panjang terlebih dahulu untuk mengeluarkan modal di ATM Bank berdekatan. Puluhan orang berbaris menunggu giliran, tambahan hanya satu mesin yang berfungsi.

PUSINGAN PERTAMA

Untuk pusingan pertama setelah wang ada di tangan, saya mulakan pengembaraan di Pustaka Ilmi, dan memperolehi beberapa buah buku yang tidak disangka tetapi saya perlukan, walaupun tidak merancang untuk memilikinya. Sebenarnya seminggu sebelum ke sini saya sudah melayari pelbagai laman web kendalian syarikat penerbit-penerbit buku khususnya untuk menyenaraipendekkan buku yang dikehendaki, tetapi hanya sebahagian kecil web saja yang dikemaskini dan menyenaraikan buku terbaru mereka.

Semakin teruja saya ke Telaga Biru Sdn Bhd, antara galeri kegemaran. Memang di sini agak sesak dengan peminat buku keluaran mereka dan untuk saya sendiri beberapa ratus ringgit diperuntukkan untuk mendapatkan buku-buku mereka. Kemudian pencarian diteruskan ke Sarjana Media Sdn Bhd dan akhirnya ke Pustaka Darussalam. Ketika itu beg sandang saya sudah sesak manakala di tangan kiri dan kanan penuh sudah mula keberatan. Namun sesekali saya berhenti juga,  menangkap gambar untuk tatapan pelayar blog ini.

Kami berkumpul semula, beg dan tangan yang sengal kerana mengangkut buku  terasa ringan semula. Buku-buku dimasukkan ke dalam kereta dan kembali ke dalam dewan untuk pusingan kedua. Pencarian di dewan pertama saja belum selesai, ada beberapa dewan lagi perlu diteroka termasuk di tingkat atas.

PUSINGAN KEDUA

Kembali masuk, saya bermula dengan Galeri Ilmu, mencari koleksi buku yang kebanyakannya sudah dikenalpasti, juga buku-buku yang menarik perhatian terutama catatan kisah-kisah benar ‘Anakku Brain Tomur’ dan beberapa buku lain. Di sini juga saya bertemu dengan Ustaz Amaluddin Darus dan pelakon Catriona Ross yang mempromosi majalah Anis. Ke sebelahnya pula adalah gerai syarikat Mustread, juga menemukan beberapa buku yang saya cari terutama tulisan Ann Wan Seng, terus ke hujung – Alam Raya Enterprise Sdn Bhd juga menemukan buku-buku menarik termasuk terbitan dari Indonesia.

Antara gerai yang tidak saya duga bertemu di sini ialah Pustaka Salam. Agak banyak saya ketemukan buku-buku ilmiah dengan harga yang sangat murah. Persembahan kulit buku masih gaya lama yang barangkali tidak menarik minat ramai tetapi saya memborong banyak buku di sini. Saya juga membeli beberapa buku ilmiah dari Jabatan Mufti Kerajaan Brunei yang sangat bermanfaat. Buku berkenaan koleksi fatwa merangkumi hukum-hakam fekah, aqidah dan seumpamanya. Nampaknya abang penjaga gerai suka sekali kerana kami bertutur dalam bahasa brunei.

Tangan semakin keberatan, kaki semakin lenguh tapi saya bergerak mencari dewan yang menempatkan PTS dan Ana Muslim. Di  gerai inilah wang saya banyak dihabiskan. Hasrat hendak berlama-lama tidak dapat saya turutkan kerana keletihan tetapi sebahagian besar buku yang dicari saya temui. Sebahagian kecil pula sudah kehabisan stok. Di gerai Ana Muslim pula sibuk menjual baju t-shirt yang nampaknya agak mahal tapi saya berhasrat membelikan sesuatu untuk anak-anak yang dirindui.

Beban semakin berat, saya gagahkan lagi naik ke tingkat atas. Antaranya ada gerai Creative Enterprise yang meneribitkan majalah Gila-Gila, gerai Saba Islamic Media Sdn Bhd yang majoritinya menerbitkan buku ugama berbahasa inggeris, Syarikat al-Hidayah House of al-Quran yang juga terkenal dengan buku-buku agama, gerai  Aqsa Syarif yang menjual buku-buku berkaitan Palestin, gerai Jahabersa dan banyak lagi. Keletihan yang amat sangat tidak mengizinkan saya berjalan lebih jauh untuk meronda kesemuanya.

Perjalanan turun tanpa diduga saya bertemu dengan sahabat lama, Che’gu Jamil Dayan dan keluarganya yang turut memborong buku-buku di Pesta Buku ini. Akhirnya dapat juga saya duduk berehat, mengurangkan kelenguhan bahu, tangan, betis dan kaki menanggung buku.  Tidak lama kami sama-sama keluar dan berpisah. Mereka balik ke kampung sementara saja mencari teksi pulang ke rumah penginapan. Selesai pusingan kedua.

PUSINGAN KETIGA

Hanya menjelang 45 minit terakhir sebelum Pesta Buku 2011 berakhir, kami datang sekali lagi untuk menghabiskan sisa duit yang berbaki. Saya meluru ke gerai Nufair Street mencari beberapa buku haraki, kemudian ke PTS yang semakin lengang berbanding  sebelumnya dan terakhir ke dewan yang meletakkan Karangkraf Sdn Bhd. Saya mencari koleksi majalah PA&MA yang menjadi minat kami suami isteri tentang maklumat kekeluargaan. Memang saat-saat akhir menjadi lebih meriah, pekerja-pekerja  gerai berebut untuk menawan hati pelanggan.

Tepat jam 9 kami keluar dari PWTC dan menghabiskan sisa malam di Kampung Baru untuk meratah durian d24.

%d bloggers like this: