Archive for 4 Mei 2011


SIAPA DALANG?

Lebih 10 ribu membanjiri ceramah isu semasa di Machang Kelantan bersama YAB Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, DSAI dan Saifuddin Nasution. Lagi bermacam tuduhan kepada DSAI, nampaknya sokongan semakin bertambah walaupun kebanjiran rakyat telah terhalang dengan empat sekatan jalanraya. Begitu juga sabotaj dilakukan oleh musuh politik dengan menyebarkan berita bahawa program ceramah telah dibatalkan.

Ini pengalaman kali kedua berkunjung ke PWTC setelah kali pertama berlaku pada awal tahun 90-an lalu bersama keluarga. Semangat untuk ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2011 sangat kuat sekali, apatah lagi tanpa diduga seorang hamba Allah yang baik hati telah membiayai tiket penerbangan pergi dan balik. Yang penting kos membeli buku ditanggung sendiri.

Kunjungan ke Pesta Buku ini juga mengingatkan kenangan Ma’arad Kitab Antarabangsa di Kaherah yang pernah saya hadiri beberapa kali ketika zaman pengajian dahulu. Kalau datang ke tapak pesta tanpa membawa duit, lebih banyak menyakitkan hati kerana banyak kitab yang menarik dan berkenan di hati. Kenangan sangat mengusik jiwa, kerana ketika itu bajet sebahagian besar kitab-kitab arab adalah perkongsian saya dan isteri, bahkan sebelum berkahwin kami sudah berkongsi duit untuk membeli kitab dan ia berlanjutan sehingga kami dikurniakan anak pertama.

Saya mengingati pesan para alim ulama, bahawa antara musuh umat Islam ialah kejahilan sementara membaca adalah antara sumber ilmu. Ketika perasmian pesta buku ini, Timbalan Perdana Menteri memaklumkan kajian bahawa rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun. Ada peningkatan katanya, walaupun terlalu perlahan kerana kajian terdahulu rakyat Malaysia hanya membaca beberapa helai setahun. Namun ia masih jauh ketinggalan berbanding negara-negara maju yang lain.

Setiap kali gaji atau mendapat rezeki berbentuk kewangan, saya mencuba sedayanya peruntukkan walau sedikit untuk membeli buku walaupun permulaannya barangkali hanya sekadar koleksi di perpustakaan keluarga yang saya namakan ‘MAKTABAH EL-MANSOURA’ kerana Mansoura adalah wilayah kami bermastautin selama 2 tahun di Mesir (selebihnya di Kaherah). Sebenarnya budaya membeli buku sudah saya semai sejak sekolah rendah, kemudian sekolah menengah, zaman di Maahad dan kemudian ketika di Mesir dan kini ketika berkerjaya.

Barangkali individu yang paling berjasa besar dalam hidup saya menyemarakkan budaya membaca dan membeli buku adalah bapa saya sendiri. Beliau seorang pesara guru dan dalam usia kini menghampiri 70 tahun, budaya membaca itu terus mekar dalam hidupnya apatah lagi beliau sangat aktif dalam Persatuan Penulis WP Labuan (PERWILA). Di rumah (kampung), buku-buku pelbagai genre berserakan di almari ruang tamu, dan rak buku di tingkat atas serta tidak ketinggalan rak kecil di biliknya. Semoga Allah mengurniakan pahala kepadanya.

Sudah tentu saya berharap kegilaan membeli dan membaca buku itu terus berakar dan menjadi budaya kami sekeluarga sehingga anak-anak setiap hari sejak kecilnya saban waktu melimpasi rak buku di rumah yang sudah penuh. Biar mereka tidak hairan dengan buku yang banyak dan secara perlahan-lahan dia akan mengikut budaya tilawah dan qiraah ini sebagaimana yang diajar dalam wahyu pertama.

Iqra.

%d bloggers like this: