Majlis seumpama ini sememangnya menjadi medan pertemuan para guru agama dan pegawai di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) seluruh negeri selain majlis-majlis keramaian dan keraian yang lain seperti hari guru dan sebagainya. Seperti biasa saya hadir sebagai panel hakim tetapi kali ini bagi kategori hafazan sekolah rendah. Pertandingan yang lain ialah tilawah al-Quran, nasyid, bercerita dan maharah al-kitabah wal-qiraah yang dijalankan secara serentak.

Saya melihat bakat anak-anak ini sangat berpotensi untuk digilap menjadi pendakwah yang baik satu masa nanti seperti kebolehan mereka bercerita kisah-kisah Islam, kebolehan membaca al-Quran secara bertajwid dan bertarannum, begitu juga kualiti hafazan yang sangat baik – kerana semua peserta boleh menjawab soalan yang diberikan. Peserta-peserta ini dicungkil daripada peringkat sekolah, ke daerah, bahagian dan seterusnya ke negeri.

Majlis perasmian penangguhan telah dilakukan oleh Ybhg Timbalan Pengarah JHEAINS Tuan Haji Rumaling Epit dan disaksikan oleh kira-kira 300 hadirin daripada kalangan guru, pegawai kanan JHEAINS dan para peserta yang terlibat. Bahagian Tawau diistiharkan sebagai juara keseluruhan bagi Majlis Ko-Kurikulum Sekolah-Sekolah Agama Negeri JHEAINS pada tahun ini. Abu Nuha Corner mengucapkan tahniah kepada semua.