Ini permainan paling sengit dan mencabar pernah saya saksikan. Perlawanan tujuh sebelah, di atas pasir, tiada kasut dan tanpa sebarang latihan. Ada yang mencatatkan kenangan, kali terakhir berlari setahun yang lalu dan hari ini bergasak lagi dalam bola sepak pantai. Pakaian bebas, boleh berkameja, berkopiah, berseluar jeans, berbaju melayu atau pakaian pejabat. Namun istimewanya, semua wajib menutup aurat. Permainan menendang bola dengan sasaran gawang kerusi mesti ditumbangkan.

Perlawanan di kawasan pantai yang tidak seimbang bagaimanapun tidak menggugat semangat para pemain tambahan lagi cuaca yang sangat baik, angin sepoi-sepoi bahasa, dihadiri oleh ribuan masyarakat yang bercuti di pantai Tanjung Aru, walaupun mereka langsung tidak menyaksikan perlawanan hebat ini kerana sibuk dengan hal masing-masing. Perlawanan sengit ini turut mencatat sejarah apabila pengadil perlawanan bertukar ganti pada separuh masa kedua kerana masalah yang tidak dapat dielakkan. Yang hebatnya, tiada pasukan yang menukar pemain gantian, kerana hanya 14 pemain yang terlibat dalam perlawanan akhir ini.

Sangat menarik apabila kedua pasukan mempamerkan semangat berpasukan, walaupun sebahagiannya hanya baru berkenalan sebelum sepak mula. Perlawanan sengit dengan pakaian serba warna-warni nampaknya mengelirukan  pasukan kurus apabila mereka tewas tipis. Pasukan boroi yang berjaya menewaskan pasukan kurus menurunkan Mu’min, pemain Sabah yang baru pulang berhijrah dari Selangor. Reputasi Mu’min nampaknya membantu pasukan boroi (walaupun Mu’min sendiri bertubuh kurus)  mengatasi kelincahan pasukan kurus.

Keputusan akhirnya, Boroi menang bergaya dengan 2-1. Abu Nuha Corner melaporkan dari pantai Tanjung Aru 2 menghadap Laut China Selatan untuk Nadi Arena. Kita balik ke studio bersama Datuk Hasbullah Awang. Kita balik ke studio….