Archive for 27 April 2011


ULASAN SELARI

Ini permainan paling sengit dan mencabar pernah saya saksikan. Perlawanan tujuh sebelah, di atas pasir, tiada kasut dan tanpa sebarang latihan. Ada yang mencatatkan kenangan, kali terakhir berlari setahun yang lalu dan hari ini bergasak lagi dalam bola sepak pantai. Pakaian bebas, boleh berkameja, berkopiah, berseluar jeans, berbaju melayu atau pakaian pejabat. Namun istimewanya, semua wajib menutup aurat. Permainan menendang bola dengan sasaran gawang kerusi mesti ditumbangkan.

Perlawanan di kawasan pantai yang tidak seimbang bagaimanapun tidak menggugat semangat para pemain tambahan lagi cuaca yang sangat baik, angin sepoi-sepoi bahasa, dihadiri oleh ribuan masyarakat yang bercuti di pantai Tanjung Aru, walaupun mereka langsung tidak menyaksikan perlawanan hebat ini kerana sibuk dengan hal masing-masing. Perlawanan sengit ini turut mencatat sejarah apabila pengadil perlawanan bertukar ganti pada separuh masa kedua kerana masalah yang tidak dapat dielakkan. Yang hebatnya, tiada pasukan yang menukar pemain gantian, kerana hanya 14 pemain yang terlibat dalam perlawanan akhir ini.

Sangat menarik apabila kedua pasukan mempamerkan semangat berpasukan, walaupun sebahagiannya hanya baru berkenalan sebelum sepak mula. Perlawanan sengit dengan pakaian serba warna-warni nampaknya mengelirukan¬† pasukan kurus apabila mereka tewas tipis. Pasukan boroi yang berjaya menewaskan pasukan kurus menurunkan Mu’min, pemain Sabah yang baru pulang berhijrah dari Selangor. Reputasi Mu’min nampaknya membantu pasukan boroi (walaupun Mu’min sendiri bertubuh kurus)¬† mengatasi kelincahan pasukan kurus.

Keputusan akhirnya, Boroi menang bergaya dengan 2-1. Abu Nuha Corner melaporkan dari pantai Tanjung Aru 2 menghadap Laut China Selatan untuk Nadi Arena. Kita balik ke studio bersama Datuk Hasbullah Awang. Kita balik ke studio….

Meriah. Demikian yang saya dapat gambarkan dalam program Hari Keluarga PASTI Putatan 2011 di Pantai Tanjung Aru 2, ahad lalu. Ia menghimpunkan – kalaupun tidak semua, tetapi ramai juga ibu bapa dan anak-anak PASTI yang hadir dalam majlis santai, bergembira dan mengeratkan ukhuwwah sesama guru, ibu bapa dan murid daripada sebanyak tujuh buah PASTI Kawasan Putatan.

Saya diamanahkan menyampaikan tazkirah ringkas sekitar 10 minit, menyentuh hal pembinaan Islam bermula dari diri masing-masing, kemudian keluarga, masyarakat dan negara. Kita membina pendidikan Islam bermula daripada peringkat anak-anak di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), memahamkan mereka perkara asas dalam Islam dan sebagainya.  Kepada ibu bapa dan guru walaupun berlainan lokasi tempat tinggal, ini masa memulakan ukhuwwah dan saling berkenalan melalui acara yang santai tetapi sangat bermakna.

Majlis diserikan dengan pertandingan melukis bagi anak-anak, bola sepak pantai bagi para bapa serta pertandingan masakan untuk kaum ibu. Tidak ketinggalan cabutan tiket bertuah yang menyediakan hadiah-hadiah istimewa tajaan pelbagai pihak. Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah Sdr Lahirul Latigu yang juga Naib YDP PAS Putatan menyempurnakan majlis penutupan dan penyampaian hadiah.

Semoga ukhuwah terus terjalin erat, dan Abu Nuha Corner mengucapkan tahniah atas kesungguhan semua pihak terutama para guru PASTI dan AJK terlibat yang bertungkus lumus sehingga program selesai sehingga ke akhirnya.

%d bloggers like this: