Belum lama saya berinteraksi dengan abang sepupu di Tutong Brunei Darussalam dua bulan lalu lewat facebook, menyatakan hasrat untuk ke sana gara-gara ‘jeles’ melihat foto abang sulung saya berziarah ke sana. Brunei Darussalam tidaklah terlalu jauh mana, hanya sekitar 7 jam perjalanan darat dari Kota Kinabalu, sejam setengah melayari feri ekspress antara Labuan ke Brunei, dan sekitar sejam penerbangan udara dari Kota Kinabalu.

Meski demikian saya hanya baru sekali ke sana, itu pun pada tahun 1997. Ketika itu saya masih di Maahad dan kunjungan ke sana menemani abang dan kakak bercuti sempena bulan madu mereka. Sempatlah kami ke taman permainan Jerudong Park yang terkenal itu, dan ketika itu pula masih percuma lagi. Saya teringat pula keistimewaan taman permainan ini yang dihentikan sekitar setengah jam apabila masuk waktu solat asar, maghrib dan isyak. Tidak lama selepas itu khabarnya taman permainan ini ditutup pula.

Berlaku Pilihanraya Negeri Sarawak memberi kesempatan saya untuk berziarah ke Brunei Darussalam ketika dalam perjalanan pulang menuju Kota Kinabalu. Memasuki sempadan Miri-Brunei yang penuh sesak dengan kenderaan sekitar jam 4 petang, sambil mendengar Radio Nur Islam  Brunei  yang sarat dengan pengisian tilawah, tarbiah dan tazkirah, menyenangi  deretan papan tanda tasbih, tahmid dan takbir di persisiran jalan, melalui masjid-masjid yang indah, tulisan jawinya dimartabatkan mengatasi tulisan rumi – semuanya mengingatkan saya terhadap Negeri Kelantan serambi Makkah itu.

Kami kemudiannya berziarah sebentar di rumah abang sepupu Haji Khalidin Mohammad di Tutong Brunei yang entah berapa belas tahun tidak ditemui kecuali di dunia facebook. Pertemuan kurang sejam, tetapi sangat bermakna sekali saya dapat bertemu mereka sekeluarga dan turut menemukan ahli rombongan kami sekali. Jelas hubungan persahabatan mula terjalin dengan pertemuan singkat kali pertama mereka. Sekitar 6.15 petang kami berangkat terus menuju Limbang tanpa masuk ke pusat Bandar Seri Begawan kerana kesuntukan masa, mengejar lokasi sempadan Temburong yang akan ditutup menjelang 10 malam.

Saya membuat satu harapan untuk datang lagi sekali membawa keluarga saya berziarah apatah lagi ada keluarga di Brunei yang belum sempat ditemui.  Yang penting, usin dan pasport untuk isteri dan anak-anak mesti disediakan, kemudian mencari masa yang sesuai untuk berangkat. Lagipun kata abang Haji K, Jerudong Park sudah kembali beroperasi.