Sepanjang perjalanan pulang dari Sadong Jaya Sarawak menuju ke Kota Kinabalu yang memakan masa lebih tiga puluh jam termasuk masa solat, makan dan mengisi minyak,  banyak melihat pemandangan indah dan menarik sepanjang perjalanan. Ternyata Allah SWT menganugerahkan rakyat Sarawak akan bumi yang indah dan subur. Kami berhenti di beberapa lokasi seperti di Kota Samarahan, Serian, ronda sebentar di Seratok, Sibu, Bintulu dan Miri sebelum masuk sempadan Brunei Darussalam.

Hanya dikesali, keasyikan melihat pemandangan indah sepanjang perjalanan merentasi 1300 kilometer itu banyak terganggu dengan suasana jalanraya yang beralun dan berombak. Bak kata DSAI dalam ceramahnya tempohari, berjalan menaiki kenderaan di daratan seperti antara  Serian ke Sri Aman, Sibu ke Bintulu dan lain-lain, tidak ubah seperti menaiki bot merentasi sungai. Banyak jalan tar yang sudah lama yang tidak diturap semula, jika ada pun hanya tampal di sana sini menyebabkan perjalanan kurang selesa.

Yang ‘peliknya’, sebaik masuk ke sempadan negara Brunei Darussalam yang berjiran dengan Miri dan Limbang, jalanrayanya lebih baik dan tidak lagi beralun-alun sedangkan Sarawak dan Brunei berada pada bumi yang sama. Kadang-kadang teringat juga jalanraya di Lintas Kota Kinabalu antara Luyang ke Petagas, jalan yang dikorek sana dan sini oleh pemaju, kemudian kerja-kerja penurapan semula tidak disempurnakan dengan baik  sehingga mengganggu perjalanan dan pergerakan kenderaan.