PAS menerima suntikan semangat menjelang dua hari terakhir di DUN Sadong Jaya apabila menerima kemasukan 341 penduduk tempatan mewakili beberapa buah kampung sekaligus menubuhkan sembilan cawangan baru dalam kawasan Parlimen Batang Sadong. PAS mempunyai kawasannya di sini sejak beberapa tahun lalu. Borang-borang diterima oleh YB Dato’ Dr Hassan Ali yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor dan Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen PAS yang juga AJK PAS Pusat.

Berita harakahdaily :

SADONG JAYA, 15 April: Seramai 341 bekas ahli Parti Pesaka Bersatu Berjasa (PBB) dari beberapa buah kampung di Dun Sadong Jaya menyertai PAS. Serentak itu, sembilan cawangan PAS berjaya ditubuhkan di Kampung Pelandok, Kampung Jaei 1, Jaei 2, Jaei 3, Jemukan Laut, Samera Laut, Samera Tengah, Rawangan dan Iboi.

Borang permohonan keahlian PAS mereka diserahkan oleh ketua penaja cawangan masing-masing kepada Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali dan AJK PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud pada satu majlis yang diadakan di Bilik Gerakan PAS Kampung Jaei, malam tadi. Antara yang menyerahkan borang berkenaan ialah bekas Pengerusi Wanita PBB Bahagian Batang Sadong, Dari Mohamad.

Ketika ditemui pada majlis itu, beliau memberitahu tindakan menyertai PAS kerana mahu menegakkan keadilan Islam dan membela anak bangsa. Ini, tambahnya disebabkan kerajaan PBB-BN tidak banyak mengadakan pembangunan untuk rakyat sebaliknya melakukan penindasan seperti merampas tanah rakyat. PAS meletakkan Ketua Pemuda Sarawak, Abang Eddy Abang Fauzi, 34, di Dun ini. Dalam pilihan raya umum 2008, Abang Eddy bertanding di Parlimen Batang Lupar, namun kalah.