Archive for 14 April 2011


Saya bukanlah pemuja beliau.

Tetapi dalam hidup ini, nama beliau mempunyai tempat di hati saya. Nama beliau saya ketahui sejak zaman kanak-kanak sekolah rendah sebagai seorang pemimpin berjiwa Islam yang meningkat naik dalam persada politik tanahair, kerana standard kanak-kanak saya yang memang suka membaca buku dan suratkhabar. Ketika itu, tiada apa yang saya tahu tentang sejarah peribadi beliau, baik zaman ABIM, kisah demonstrasi Baling dan seumpamanya.

Masuk ke SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah pada akhir 1991, ketika hari pendaftaran, masih terngiang-ngiang lagi bahawa bapa mengingatkan saya agar belajar bersungguh-sungguh tentang ilmu Islam, kemudian mencadangkan agar saya satu ketika nanti masuk ke UIA lalu mengambil jurusan undang-undang syariah dan menjadi peguam syariah. Itu harapan beliau kepada saya bersandarkan kedudukan DSAI.

Katanya, satu ketika nanti Anwar akan jadi Perdana Menteri dan beliau mungkin akan menyerapkan perundangan Islam dengan lebih baik ketika itu berbanding apa yang ada ketika ini (1990an). Ketika DSAI mengadakan rumah terbuka hari raya bersama pemimpin BN di Wisma MUIS, saya antara yang berbaris bersama ribuan rakyat ingin bersalaman dengan DSAI buat kali pertama. Ketika itu kalau tidak salah, saya masih bersekolah menengah.

Ketika DSAI dipecat pada 1998, kami berada di Maahad. Kefahaman tentang siasah negara dan harakah Islamiah dalam diri saya baru bermula berdikit-dikit. Saya tanyakan kepada seorang ustaz akan pandangannya tentang isu tuduhan seks terhadap DSAI. Ustaz menjawab mudah satu prinsip asas : “Memang manusia mempunyai kelemahan, sering melakukan kesilapan, tetapi menuduh orang tanpa bukti dan saksi menurut Islam adalah dilarang sama sekali”. Prinsip itu sangat jelas bagi saya.

Begitulah sekelumit kecil kenangan oleh seorang rakyat biasa seperti saya. Selepas beliau keluar penjara, hanya beberapa kali saya melihat wajahnya, itupun dari jauh.

PILIHANRAYA NEGERI SARAWAK 2011

Hari ini di Sadong Jaya (14 April 2011), saya dimaklumkan DSAI akan turun dan berceramah di Kampung Semera Laut. Oleh kerana rumah tempat saya menumpang tidak jauh, adalah orang tertentu di sana yang membawa saya ke lokasi ceramah. Kepada saya, semuanya berlaku tanpa dirancang. DSAI tiba beberapa minit sebelum jam 5 petang, disambut oleh penduduk kampung. Beliau selama ini telah dituduh dengan bermacam-macam tuduhan termasuk isu video seks, tetapi saya lihat ia langsung tidak berkesan kepada oleh penduduk di sini.

Tanpa sebarang protokol, rakyat tidak kira kanak-kanak, remaja, dewasa dan orang tua berebut bersalam dengan DSAI dan beliau melayannya dengan penuh senyuman dan semangat walaupun semua maklum beliau keletihan. DSAI memaklumkan ini hari ke-13 beliau di Sarawak dan beliau berusaha untuk pergi ke banyak tempat seluruh negeri sebelum hari mengundi menjelang tiba.

Sebagai pelancong pilihanraya dan jurukamera amatur, saya merasa puas melihat ceramah beliau secara dekat dan berhadapan pula kerana hasrat merakamkan wajah dan aksi beliau sepuas-puasnya. Ceramah beliau selama setengah jam penuh semangat, jelas menfokuskan agar rakyat berani membuat perubahan dan menumbangkan kerajaan BN. Jangan rakyat yang tidak bersalah menjadi penakut, sedangkan mereka yang memerintah dengan zalim berani menyeleweng khazanah rakyat.

Turut hadir di sana ialah YB Dr Mujahid Yusuf, YB Dr Halimah Ali, YB Ronnie Liu, Ustaz Salahuddin Nasir, Blank (bekas penyanyi kumpulan Gamma), dan calon PAS N20 Sadong Jaya Abang Eddy bin Abang Ariani. Hishamuddin Sulaiman, ketua Penerangan PAS Sabah bertindak sebagai pengacara majlis.


Kali ini rakyat tempatan sudah banyak berubah.

Tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, abang teksi  berbangsa melayu yang menghantar saya ke lokasi yang ditetapkan meluahkan perasaannya sendiri dengan suasana politik di bumi kenyalang. Dia berterus terang kerajaan yang ada kini menghampakan rakyat Sarawak. Baginya, bukan soal lama atau sekejap memerintah tetapi sejauh mana mereka melaksanakan amanah atau menyeleweng daripada amanah yang diberikan rakyat.

Saya datang sebagai pelancong pilihanraya, khususnya melaksanakan aktiviti fotografi yang menjadi kegemaran saya yang semakin menjadi-jadi. Heh, apatah lagi kurang seminggu lalu model kamera saya sudah sudah bertukar kepada yang lebih baik. Ada pula seorang hamba Allah yang sudi membayarkan tiket penerbangan ke bandaraya meow ini. Abang teksi tadi turut menjelaskan kawasan-kawasan panas dan menyatakan ramalannya.

“Hanya dua : BN tumbang atau setidak-tidaknya mereka kehilangan majoriti dua pertiga”.

Sebenarnya, bacaan di media maya menurut kajian pelbagai pihak tidak banyak berubah daripada ramalan abang teksi. Ia barangkali sukar dipercayai bagi penonton setia tv1 dan tv3 sahaja. Jika mereka adalah orang yang terbuka dan berlapang dada, nescaya kajian itu ternyata berasas. Pakatan Rakyat boleh dikatakan menguasai bandar-bandar utama seperti Kuching, Sibu dan Miri dan semakin melebarkan pengaruh ke pinggir bandar dan kampung.

Hari ini saya dibawa seseorang ke Sadong Jaya, sejam dari Kuching. Pertembungan tiga penjuru antara BN, PAS dan Bebas. Ramai kawan-kawan bertanya, maka jawapan saya : Pertembungan sengit antara BN dan PAS. Jika tidak begitu masakan Presiden UMNO DS Najib datang ke DUN ini selasa lalu. Kami dikhabarkan, sementara BN hampir mengalah di bandar-bandar, mereka menumpukan perhatian di kawasan melayu seperti Sadong Jaya. Bahkan BN mengkategorikan Sadong Jaya sebagai kawasan kelabu.

Mengejutkan saya, kerja-kerja kempen PAS banyak dibantu oleh orang tempatan, tidak kira mereka anak-anak muda atau dewasa berumur 40 tahun keatas. Anak-anak muda tidak segan silu mengangkat bendera bulan hijau putih,  atau mengenakan baju t-shirt bercetak pelbagai ayat seperti undilah PAS, kamek mau ubah, dan sebagainya. Petugas juga terkejut dengan layanan mesra penduduk tempatan walaupun mereka adalah ahli parti BN-PBB, menerima kedatangan tetamu dan mendengar penjelasan perayu undi.

Namun kata perayu-perayu undi, apa pun situasinya kerja-kerja kempen akan terus berjalan hingga ke saat-saat akhir apatah lagi BN dijangka akan menggunakan senjata terakhir mereka bagi memikat para pengundi. Saya pula akan terus merakam foto-foto menarik untuk dikongsi bersama.

 

%d bloggers like this: