Archive for 13 April 2011


MTQ SARINGAN AKHIR

Terus terang saja, menghakimi sejumlah 40 qari dan qariah terpilih seluruh negeri Sabah selama dua hari – semalam dan hari ini di Masjid Negeri Sabah cukup meletihkan. Setiap peserta memperdengarkan tilawah mereka selama 10 minit dengan dua tarannum wajib selain dua tarannum pilihan. Seperti tahun lalu, saya turut diamanahkan menghakimi bidang tajwid bersama-sama Ybhg Datuk Haji Asmali Bachi dan Ustaz Adam Abdul Hai, kedua-dua mereka adalah guru tajwid saya sejak di sekolah menengah dan di Maahad Tahfiz.

Seperti ulasan yang disampaikan oleh pengerusi jamaah hakim Ustaz Haji Ag Omar Pg Gana, masih kedapatan peserta melakukan kesalahan besar yang tidak sepatutnya berlaku dalam peringkat saringan. Contohnya mad asli melebihi dua harakat, kesalahan baris dan huruf, tidak memenuhi syarat tarannum wajib dan seumpamanya. Kali ini, ada peserta baru dan ramai juga peserta senior. Johan qari lalu, Haji Abdullah Wahid tidak menyertai MTQ tahun ini.

Lapan peserta terbaik akan bersaing lagi dalam MTQ peringkat Negeri Sabah yang dijangka akan diadakan pada 13 Mei 2011 di Dewan Saadah Wisma MUIS Kota Kinabalu. Keputusan sebagaimana yang diumumkan oleh pengerusi jamaah hakim adalah seperti berikut :

Qari –

1) Rafie Ghalil Abbas (76%)

2) Abdul Basith Harisah (74.6%)

3) Razman Asmat (32.5%)

4) Zunaidi @ Adi Misdarani (72.7%)

Qariah –

1) Hajjah Siti Hatijah Marzuki (77.3%)

2) Hajjah Sanayah Haji Janaid (72.6%)

3) Nur Faten Izzati Rablin (71%)

4) Jalimah Muamat (66.5%)

YANG TIGA EKOR

Segmen cerita arnab kami di blog ini memang sentiasa ada peminatnya. Kalau lama tidak bercerita hal arnab-arnab comel ini, ada saja pembaca yang bising bertanya tentangnya. Minggu lalu, ada seorang pakcik berurusan di lorong rumah kami. Dilihatnya kandang arnab, seraya bertanya : “Jualkah?” Soalan mengandungi permintaan kerana dia berhajat untuk membeli.

Saya masih keberatan untuk menjual atau memberi kerana sasaran saya untuk meramaikan keturunannya belum tercapai. Kini baru ada 20 ekor termasuk 3 yang masih kecil (foto atas). Saya ada sasaran tertentu, membina kandang-kandang baru khusus untuk ibu-ibu yang mengandung. Selepas itu, kalau ada rezeki, bolehlah jual ke mana-mana. Kalau pasaran menggalakkan, barangkali boleh jadi penjual arnab atau daging arnab sepenuh masa. Amacam?

Tiga ekor di atas semuanya comel-comel. Mudah-mudahan terus membesar.

%d bloggers like this: