Barangkali di kalangan kawan-kawan, keluarga kami ‘ketinggalan keretapi’ kerana baru kali ini berkesempatan berkunjung ke Taman Perdana (Perdana Park) Tanjung Aru, itu pun tanpa dirancang terlebih awal. Kami sekeluarga – kecuali anak ke-4 yang tidur di rumah pengasuh – sebenarnya hendak menghantar anak angkat kami ke asrama puteri lewat petang ahad, lalu saya terfikir untuk berkunjung ke Taman Perdana yang banyak dikatakan orang itu.

Taman Perdana ini saya dimaklumkan dibuka pada Januari 2011 lepas. Tempatnya cantik dan luas, tapi memandangkan hari cuti, memang ramai pengunjung yang datang. Kenderaan keluar dan masuk memang agak sesak, tetapi masih ada tempat kosong untuk meletak kereta. Dari jalan utama memang jelas kelihatan ramai orang sedang berjogging, bersantai dan menemani anak masing-masing memanfaatkan alat-alat permainan di sana. Oleh kerana orang yang terlalu ramai, saya mengehadkan pergerakan anak-anak hanya di satu tempat permainan, memandangkan menurut maklumat di sana, kerap berlaku anak-anak terlepas daripada kawalan ibu bapa dan penjaga masing-masing.

Seronoknya saya melihat penganjur menetapkan kawasan ini sebagai larangan merokok dan larangan meludah. Kebersihan sangat dijaga dengan banyaknya tong sampah di tempat strategik dan pengumuman-pengumuman agar menjaga kebersihan sentiasa diwar-warkan. Air mineral percuma terdapat di satu sudut berdekatan tasik untuk kemudahan pengunjung terutama anak-anak yang letih bermain dan orang yang berjogging.

Saya kira tarikan utama di sini ialah persembahan air pacutan berirama yang diadakan setiap malam, dengan lima set persembahan setiap malam. Set pertama ada jam 7.00 – 7.10, set kedua pada jam 7.30 – 7.40 , set ketiga pada jam 8.00 – 8.10 malam, set keempat pada jam 8.30 – 8.40 malam dan set kelima pada jam 9.00 – 9.10 malam. Persembahan seumpama ini pernah saya saksikan satu ketika dahulu di Taman Jerudong, Brunei Darussalam.

Hanya beberapa perkara yang saya perhatikan sepanjang hampir sejam di sana. Menanti persembahan air pacutan itu dan lokasi ini rupa-rupanya menjadi tempat baru untuk pasangan muda mudi bermanja sesama mereka. Keduanya, nampaknya penganjur atau pemilik taman ini tidak sensitif dengan keperluan mewujudkan surau bagi kemudahan umat Islam yang datang berkunjung. Saya ada bertanyakan kepada pekerja di sana yang beragama Islam, katanya memang tiada surau di sini. Harap perkara ini dapat diambil berat oleh pihak yang berkenaan.

Cadangan saya kepada pengunjung muslim yang berhajat untuk melihat persembahan air pancutan ini agar datang selepas maghrib saja sementara surau belum disediakan. Jika tidak, alamat kelam kabut keluar selepas persembahan pertama menuju masjid berdekatan seperti Masjid Kampung Tanjung Aru. Yang lain, setakat ini kami tiada masalah, anak-anak turut gembira dan mahu datang lagi pada masa akan datang. Saya pun belum puas bermain dengan kamera untuk merakamkan keindahan taman ini. Masih banyak saya terlepas pandang untuk dirakamkan memandang banyak masa menjaga anak-anak bermain.