Persatuan Alumni SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah Kota Kinabalu bermesyuarat kali pertama pada petang sabtu semalam di Cafe Chef Hai ‘D, Tanjung Aru untuk membincangkan beberapa agenda berkaitan projek besar ‘penyatuan semula’ (reunion) buat julung kali bekas pelajar sekolah berkenaan. Sekolah ini telah ditubuhkan sekitar tahun 1972-73, mengalami beberapa kali perubahan, penambahan dan pembaikan terhadap infrastruktur bangunan dan bakal berpindah ke lokasi baru di Kinarut, seawal-awalnya januari tahun 2012.

Lepasan pelajar sekolah ini telah ada di mana-mana jabatan, institusi, sekolah dan seumpamanya. Ada yang menjawat jawatan tinggi dalam organisasi jabatan, pemegang gelaran PhD dalam dunia akademik, menjadi ahli korporat yang gigih, guru yang berkaliber dan sebagainya. Justeru, pertemuan semula ini dianggap penting untuk mengumpul seluruh lepasan pelajar sekolah yang sudah tentu bermacam rupa dan keadaannya.

Pertemuan ini mensasarkan kehadiran sekurang-kurangnya 400 alumni seluruh Sabah, tanpa mengira tahun masuk dan tamat atau tempoh keberadaan di sekolah berkenaan. Enam tahun penuh atau sekadar lima tahun, atau empat tahun, atau sekadar beberapa bulan. Asalkan pernah menjejakkan kaki dan mendapat ilmu daripada guru-guru yang dikasihi di sekolah ini. Pihak urus setia juga sedang menyenarai pendekkan guru-guru yang pernah bertugas di sekolah ini untuk dipertemukan sesama mereka dan bekas pelajar.

Dalam mesyuarat pertama yang dihadiri oleh 9 orang itu (terima kasih atas kehadiran Ustaz Hamdani Omar walaupun sebentar), sementara tempat masih dalam pencarian (sekitar Pantai Barat Sabah) untuk memuatkan 400 tetamu dalam majlis berkenaan; mesyuarat telah memutuskan program ini dijangka akan berlangsung pada 16 dan 17 September 2011. Sesuatu yang diharapkan buat masa ini kepada rakan-rakan alumni ialah agar dapat mengosongkan tarikh berkenaan untuk sama-sama kita menghadiri program ini.

Mesyuarat juga memutuskan mengadakan acara ini dengan bermalam di lokasi yang bakal ditentukan kelak, justeru ia bermula dengan pendaftaran sekitar jam 2 petang (selepas solat jumaat), program out door untuk anak-anak, solat berjamaah – asar-maghrib-isyak-subuh, majlis makan malam sehingga program dialog pada pagi keesokan harinya sebelum bersurai menjelang tengahari. JK kecil bagi pengisian setiap slot akan ditentukan kemudian.

Pada mesyuarat berikut, JK akan memutuskan lokasi pertemuan, pakej dan bajet yang perlu dibayar untuk kos penginapan, makan malam dan lain-lain, senarai tetamu khas dan beberapa perkara lain. Setelah perkara asas dimuktamadkan, kerja-kerja promosi dan pendaftaran akan digerakkan secara besar-besaran. Sebarang pertanyaan dan cadangan boleh dikemukakan kepada urus setia induk program ini iaitu Ustaz Zulhaimi Asbi (013-5485625), Ustaz Sufian Amran (016-8476965) dan Ustaz Saiful Khair Sampon (013-8965955).

Tindakan bekas @ alumni SMUI Toh Puan Hajjah Rahmah untuk majlis ini :

1) Mengosongkan tarikh 16 & 17 September 2011 daripada sebarang program lain untuk hadir ke program ini;

2) Mengumpul dan menyediakan sedikit duit yuran yang akan ditetapkan kelak (urus setia beriktiar bajet +/- sekitar RM200/- sahaja, (tidak termasuk kos pengangkutan);

3) Menyebarluaskan maklumat ini kepada mereka yang bergelar alumniĀ  dan mereka yang pernah bertugas di SMUI TPHR;

Mudah-mudahan majlis ini dapat direalisasikan untuk menyatukan kembali bekas pelajar sekolah berkenaan seterusnya dapat menyumbang walau sekelumit untuk perkembangan dakwah Islam di bumi Sabah ini. Selain facebook alumni sekolah EX TPHR, blog Abu Nuha Corner akan turut membantu menyampaikan maklumat dan perkembangan lanjut program ini daripada masa ke masa.