Archive for 9 April 2011


Majlis Tilawah al-Quran peringkat jabatan, kementerian dan daerah sudah hampir ke penghujungnya. Sandakan akan mengadakan MTQnya pada pagi ahad. Dalam peraturan baru MTQ Negeri Sabah sejak tahun lalu menetapkan, hanya johan qari dan qariah yang melepasi markah 70% layak ke peringkat Majlis Tapisan Qari dan Qariah ini.

Seandainya johan qari atau qariah tidak melepasi markah 70% ini, maka johan berkenaan dianggap tidak layak mewakili daerah atau kementerian terbabit. Peraturan ini diadakan agar MTQ peringkat negeri kelak lebih sengit  dan berprestij dengan hanya lapan peserta terbaik (4 qari dan 4 qariah) mengumandangkan tilawah mereka.

Saya dimaklumkan beberapa negeri seperti Sarawak, Kelantan dan lain-lain sudah menggunakan peraturan ini. Justeru terdapat penonjolan yang ketara daripada wakil negeri terbabit. Majlis Tapisan pada 12 dan 13 April  bermula jam 9 pagi diadakan di bilik VVIP Masjid Negeri Sabah dan orang ramai dijemput hadir. Insya Allah saya juga ada di sana.

Khatib : Ustaz Haji Ibrahim Kisab

Lokasi : Masjid Negeri Sabah

Sedekah adalah suatu sunnah dan amalan para sahabat yang sangat mulia. Dalam tradisi Islam ia ada beberapa tahap seperti zakat, sedekah, derma dan hadiah. Zakat adalah amalan wajib ditunaikan oleh umat Islam yang berkemampuan manakala sedekah adalah amalan sunat yang dituntut. Ia merupakan pemberian sesuatu kepada orang yang memerlukan dengan tujuan mahu mendekatkan diri kepada Allah SWT dan merupakan amalan yang mulia serta mencakupi perkara yang mendatangkan kebaikan dari sekecil-kecil sehinggalah sebesar-besarnya.

Tuntutan bersedekah ini tidak ada ertinya tanpa kita yang bersedekah menyandarkan niat yang ikhlas kerana Allah SWT demi untuk kebajikan pihak yang memerlukan dan tidak mengharapkan pujian atau balasan, bahkan semata-mata untuk mencari keredhaan Allah SWT dan menjunjung ketaatan kepada-Nya serta memupuk kasih sayang kepada manusia dan masyarakat seluruhnya.

“Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (rahmat) kurniaNya, lagi meliputi ilmu pengetahuanNya”.

Untuk mencari keredhaan dan keberkatan Allah SWT dalam amalan bersedekah atau menderma kita hendaklah mematuhi peraturan dan adab tertentu antaranya ialah hendaklah merahsiakannya dalam bersedekah dan itu lebih baik daripada menzahirkannya walaupun ikhlas. Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 271:

“Kalau kamu zahirkan sedekah-sedekah itu (secara terang), maka yang demikian adalah baik (kerana menjadi contoh yang baik). Dan kalau pula kamu sembunyikan sedekah-sedekah itu serta kamu memberikannya kepada orang-orang fakir miskin, maka itu adalah lebih baik bagi kamu, dan Allah akan menghapuskan daripada kamu sebahagian dari kesalahan-kesalahan kamu. Dan (Ingatlah) Allah amat mengetahui secara mendalam akan apa yang kamu lakukan”.

Apa yang dilakukan oleh ulama’ salaf, kita dapati mereka merahsiakan sedekah mereka daripada pengetahuan manusia dan masyarakat umum, hinggakan ada di antara mereka sengaja mencari orang fakir dan miskin yang buta. Mereka memberi sedekah kepada golongan itu supaya tidak diketahui siapakah yang memberinya. Mereka juga memberi derma atau sedekah dengan memasukkan atau mengikatnya kepada seseorang si fakir atau miskin pada pakaiannya ketika sedang tidur.

Namun daripada itu kita juga dibolehkan untuk mewar-warkan pemberian tersebut bagi tujuan menggalakkan masyarakat melakukan sedekah. Ibnu Abil Ja’ad berkata: “Sedekah itu menutup tujuh puluh pintu keburukan dan keutamaan antara sedekah secara terang-terangan dengan yang disembunyikan itu ialah bahawa yang kedua lebih utama dari yang pertama dengan tujuh puluh kali ganda”.

Kita dituntut mendermakan daripada harta milik kita yang paling baik dan daripada benda-benda yang kita sayangi dan menghulurkannya dengan wajah yang berseri-seri dalam keadaan gembira bukannya dengan muka yang masam atau kecewa. Kita hendaklah menghindarkan diri daripada sifat ungkit-mengungkit sehingga boleh menyakiti hati orang yang diberi sedekah.

Menurut Imam Sufian Ath-Thauri: “Sesiapa yang mendermakan sesuatu atau daripada sesuatu yang diharamkan, ia diumpamakan seperti seseorang yang membersihkan pakaian dengan air najis atau kencing. Tentulah pakaian itu tidak akan bersih, kecuali dengan air yang suci, begitulah juga dosa itu tidak dapat dihapuskan kecuali dengan yang halal”.

%d bloggers like this: