KEMASKINI : AISKRIM VEDABLU SUDAH DIBERIKAN SIJIL PENGESAHAN HALAL SEJAK APRIL 2012. PERKARA INI DIMAKLUMKAN SECARA LISAN OLEH TUAN HAJI SOTIMIN KEPADA SAYA. TERIMA KASIH.

……………………………………………………………………………………

Saya dimaklumkan oleh Tuan Haji Sotimin Sarun, Pegawai Hal Ehwal Islam yang bertanggungjawab sebagai urus setia Jawatankuasa Makanan Gunaan Islam (MGI) di Bahagian Penyelidikan dan Informasi JHEAINS berkenaan jenama aiskrim di atas. Saya dimaklumkan bahawa di sekitar Kota Kinabalu premis aiskrim ini ada di 1Borneo, Warisan Square dan City Mall.

Katanya, syarikat berkenaan telah meminta pengesahan halal terhadap produk aiskrimnya pada bulan Oktober tahun 2010. Pihak Jabatan Kesihatan  telah mengambil sampel kali pertama pada 16 Disember 2010 dan JHEAINS telah mengambil sampel kali kedua pada 31 Januari 2011 di kilang syarikat berkenaan di Taman BDC Kolombong. JHEAINS telah mengambil sample bahan ramuan strawberry, forest barries, cacopat (coklat), white chocolate, pepita dan glutena (jelly).

Sebelum pihak JK MGI memutuskan untuk memberi persijilan halal, sampel bahan ramuan berkenaan diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya untuk dianalisis bagi ujian kandungan yang tidak halal seperti khinzir dan sebagainya.

JHEAINS telah menerima surat pada 21 Mac 2011 daripada Jabatan Kimia dan melaporkan hasil analisis terhadap enam sampel yang dihantar. Keputusannya, empat daripada enam sampel berkenaan didapati mengandungi DNA babi. Sampel berkenaan ialah forest barries, white chocolate, pepita dan glutena (jelly). Sementara itu yang dua lagi iaitu strawberry dan cacopat (coklat) dikesan tidak mengandung DNA babi.

Justeru permohonan sijil halal tidak dapat diluluskan dan pihak syarikat berkenaan boleh memohon semula pengiktirafan dengan syarat  menukar semua bahan ramuan yang mempunyai pengiktirafan halal.