Archive for 8 April 2011


Majlis berkenaan berlangsung meriah di SMAN Pantai Manis Papar sebagai tuan rumah kali ini. Sejak awal pagi, urus setia dari Bahagian Pendidikan JHEAINS, para peserta, guru-guru dan juri hakim datang berkumpul bagi menjayakan majlis berkenaan. Tujuh acara dilangsungkan serentak iaitu syarahan Bahasa Arab, pidato, khutbah, khat, kuiz, nasyid dan maharah al-kitabah wal-qiraah.

Saya tiba dengan kenderaan sendiri pada jam 8.10 pagi untuk menunaikan amanah sebagai hakim bahagian kuiz bersama-sama dengan sahabat saya Ustaz Hisyam Yayah dari Pejabat Mufti Negeri Sabah. Lima buah sekolah JHEAINS menyertai majlis ko-kurikulum ini iaitu SMAI Toh Puan Hajah Rahmah, SMAI Papar, SMAI Beaufort, SMAI Tambunan dan SMAI Kunak. Untuk bahagian kuiz ini SMAI Toh Puan muncul sebagai johannya dan sekaligus johan keseluruhan.

Pemerhatian saya dan Ustaz Hisham, soalan-soalan kuiz yang terbahagi kepada 3 kategori iaitu tauhid, fekah dan bahasa Arab ini sangat menarik. Soalan-soalan merujuk kepada standard PMR, tiga peserta bagi setiap sekolah dan mereka memilih soalan antara 1 hingga 15. Pada pusingan pertama, Papar kelihatan mendahului, disaingi pada pusingan kedua dan kemudiannya dipintas oleh Toh Puan pada pusingan ketiga dan akhirnya muncul johan. Jelas sekali, para peserta umumnya agak lemah dalam kategori bahasa Arab.

Majlis penutupan dilakukan oleh Puan Hajah Apsah Haji Kudi, KPP Bahagian Khidmat Pengurusan mewakili Pengarah JHEAINS. Hanya satu saya kelihatan ralat dalam majlis ko-kurikulum ini kerana ketiadaan acara tilawah dan hafazan  al-Quran yang sepatutnya menjadi acara penting kerana subjek ini diajar di sekolah-sekolah JHEAINS. Tahniah kepada semua yang terlibat, semoga tahun hadapan lebih baik dan berkualiti persembahan dan hasilnya kepada dakwah Islam di Sabah. Insya Allah.

Foto berikut sumbangan Ahmad Haji Yasin :

KEMASKINI : AISKRIM VEDABLU SUDAH DIBERIKAN SIJIL PENGESAHAN HALAL SEJAK APRIL 2012. PERKARA INI DIMAKLUMKAN SECARA LISAN OLEH TUAN HAJI SOTIMIN KEPADA SAYA. TERIMA KASIH.

……………………………………………………………………………………

Saya dimaklumkan oleh Tuan Haji Sotimin Sarun, Pegawai Hal Ehwal Islam yang bertanggungjawab sebagai urus setia Jawatankuasa Makanan Gunaan Islam (MGI) di Bahagian Penyelidikan dan Informasi JHEAINS berkenaan jenama aiskrim di atas. Saya dimaklumkan bahawa di sekitar Kota Kinabalu premis aiskrim ini ada di 1Borneo, Warisan Square dan City Mall.

Katanya, syarikat berkenaan telah meminta pengesahan halal terhadap produk aiskrimnya pada bulan Oktober tahun 2010. Pihak Jabatan Kesihatan  telah mengambil sampel kali pertama pada 16 Disember 2010 dan JHEAINS telah mengambil sampel kali kedua pada 31 Januari 2011 di kilang syarikat berkenaan di Taman BDC Kolombong. JHEAINS telah mengambil sample bahan ramuan strawberry, forest barries, cacopat (coklat), white chocolate, pepita dan glutena (jelly).

Sebelum pihak JK MGI memutuskan untuk memberi persijilan halal, sampel bahan ramuan berkenaan diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya untuk dianalisis bagi ujian kandungan yang tidak halal seperti khinzir dan sebagainya.

JHEAINS telah menerima surat pada 21 Mac 2011 daripada Jabatan Kimia dan melaporkan hasil analisis terhadap enam sampel yang dihantar. Keputusannya, empat daripada enam sampel berkenaan didapati mengandungi DNA babi. Sampel berkenaan ialah forest barries, white chocolate, pepita dan glutena (jelly). Sementara itu yang dua lagi iaitu strawberry dan cacopat (coklat) dikesan tidak mengandung DNA babi.

Justeru permohonan sijil halal tidak dapat diluluskan dan pihak syarikat berkenaan boleh memohon semula pengiktirafan dengan syarat  menukar semua bahan ramuan yang mempunyai pengiktirafan halal.

%d bloggers like this: