Surau Riyadhus Solihin Taman Austral Kepayan.

Saya punya ramai rakan dalam kalangan PDRM. Ada berpangkat pegawai, ada sekadar anggota biasa. Ada polis cawangan khas (SB), cawangan trafik, narkotik, PGA, latihan dan bermacam-macam lagi. Pendeknya hubungan dengan kawan-kawan di dalam sangat mesra dan baik sekali. Sesekali saya diundang juga untuk mengadili MTQ peringkat PDRM, khutbah dan ceramah di masjid mereka.

Semua tahu PDRM mengalami krisis kepercayaan masyarakat sejak Tan Sri Rahim Noor didapati menumbuk lebam mata Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam peristiwa September 1998. Keterlibatan segelintir mereka dalam rasuah dan salah guna kuasa menjadi bualan umum. Tidak kurang juga cerita-cerita PDRM terutama cawangan khas menjadi perkakas UMNO-BN dalam mempertahankan kuasa mereka dengan  menyelinap, menyamar dan aktiviti sewaktu dengannya dalam majlis dan program parti lawan dengan tujuan mencari maklumat.

Berdasar pengalaman peribadi, saya pernah menjadi sasaran dan mangsa kawan-kawan cawangan khas memeriksa saya dalam beberapa hal terutama berkaitan isu-isu siasah negara. Bahkan seorang rakan saya yang pernah dibawa ke balai, diperlihatkan fail dan senarai nama dikehendaki, lucu pula mendengar ceritanya bahawa foto muka saya termuat sama. Pernah juga pembantu rumah saya satu ketika dulu ditakut-takutkan oleh peronda polis dan dibawa ke dalam kereta peronda beberapa jam lamanya sebelum dihantar pulang.

Saya berdoa abang-abang polis diberikan hidayah dan kekuatan oleh Allah SWT, tabah melaksanakan tugas yang diamanahkan selama tidak menyeleweng dan maksiat kepada Allah SWT. Saya yakin selama mereka diberikan akal fikiran, mereka tahu mana yang benar dan salah. Saya gembira sekali apabila melihat abang-abang polis tidak lalai melaksanakan solat, dalam masa yang sama berharap mereka melaksanakan tugas menjaga keamanan negeri dan negara kerana itu juga adalah sebahagian daripada ibadah kepada Allah SWT.

Jangan menjadi pagar yang tidak boleh diharap menjaga padi.