Haji Suardi Narion boleh dikatakan jamaah tetap di Masjid Negeri Sabah. Sudah berumur 82 tahun tetapi kasihnya kepada masjid dan majlis ilmu sangat mengkagumkan. Setiap kami Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah mengadakan kursus demi kursus, beliau menggagahkan diri untuk datang, walaupun kami lihat gaya berjalannya sudah hampir ke taraf seperti rukuk dan solatnya hanya duduk di kerusi yang sering dibawanya sendiri.

Keluarganya berasal dari Indonesia, tetapi beliau sendiri dilahirkan di Kampung Sapong Tenom. Pada tahun-tahun 50-an menyertai keluarganya berhijrah ke Kampung Air di Jesselton (Kota Kinabalu). Kini dalam keuzurannya, beliau masih mampu memandu sendiri ke lokasi yang berhampiran dari rumahnya di Sembulan serta menggagahkan tubuhnya untuk belajar mengaji al-Quran bersama Imam Saidin Arpha di Masjid Negeri Sabah.