Archive for 5 April 2011


Majlisnya walaupun berlangsung pada sebelah malam ahad tetapi kemeriahannya sudah terserlah sejak pagi sabtu dengan gotong royong sesama jamaah surau dan keluarga masing-masing. Inilah keistimewaan surau ini, meskipun terletak dalam kawasan bandaraya, suasana dan kerja-kerja gotong royong, semangat bekerjasama masih wujud seperti di kampung sendiri.

Sebenarnya waktu sahur sebelum itu mereka sudah mengadakan program qiyamullail dipimpin oleh Ustaz Azam. Dua ekor kambing kemudiannya disembelih oleh Ustaz Mohammad Suaid pada pagi sabtu sebagai aqiqah buat dua bayi perempuan, Eisyatur Radhiah binti Mohammad dan Nusaibah binti Zainuddin. Sebelah tengahari mereka makan beramai-ramai nasi + sup kaki ayam yang menyelerakan.

Majlis bermula dengan solat maghrib dan isyak berjamaah, kuliah maghrib khas bersama Ustaz Azam, bacaan al-Quran dan rawi barzanji sambil majlis memotong rambut kedua-dua bayi dilakukan oleh kesemua jamaah yang hadir. Tahniah kepada kedua-dua keluarga Ustaz Mohammad dan Zainuddin serta seluruh jamaah yang bergotong royong serta memeriahkan majlis berkenaan. Berbaloi dengan keenakan daging dua ekor kambing malam tu!

Foto berikut sumbangan Haji Razali Abdul Kadir.


Haji Suardi Narion boleh dikatakan jamaah tetap di Masjid Negeri Sabah. Sudah berumur 82 tahun tetapi kasihnya kepada masjid dan majlis ilmu sangat mengkagumkan. Setiap kami Syukbah Dakwah Masjid Negeri Sabah mengadakan kursus demi kursus, beliau menggagahkan diri untuk datang, walaupun kami lihat gaya berjalannya sudah hampir ke taraf seperti rukuk dan solatnya hanya duduk di kerusi yang sering dibawanya sendiri.

Keluarganya berasal dari Indonesia, tetapi beliau sendiri dilahirkan di Kampung Sapong Tenom. Pada tahun-tahun 50-an menyertai keluarganya berhijrah ke Kampung Air di Jesselton (Kota Kinabalu). Kini dalam keuzurannya, beliau masih mampu memandu sendiri ke lokasi yang berhampiran dari rumahnya di Sembulan serta menggagahkan tubuhnya untuk belajar mengaji al-Quran bersama Imam Saidin Arpha di Masjid Negeri Sabah.

%d bloggers like this: