Saya menyedari bahawa blog saya ini bukanlah hebat dan terkenal mana. Ia hanya berlegar di sekitar keluarga, kawan-kawan di surau, masjid atau jabatan dan mereka yang suka membaca atau mengetahui aktiviti dakwah kecil-kecilan yang saya sertai bersama kawan-kawan, baik di jabatan atau dalam persatuan. Sesekali saya muatkan juga artikel berkenaan isu-isu semasa dan siasah negara sebagai tanda prihatin dan dakwah saya kepada para pembaca yang saya hormati.

Saya juga menyedari ada kategori atau jenis pembaca tetap dan pembaca tidak tetap ke blog ini, barangkali begitu jugalah dengan blog orang lain. Pembaca tetap saya adalah seperti yang saya jelaskan di atas, manakala pembaca tidak tetap seperti mereka yang sekadar mencari maklumat tertentu untuk keperluan masing-masing. Pelayar blog ini saya sedari bertambah sedikit demi sedikit, pelayar tidak tetap ada yang menjadi pembaca tetap.

Boleh jadi saya syok sendiri mengatakan bahawa kekuatan blog ini ialah saya suka memasukkan artikel kebanyakkannya aktiviti dakwah sekitar yang saya sertai dan disertai dengan foto yang memaparkan wajah orang. Ia kemudiannya saya maklumkan kepada penganjur dan dipanjangkan pula kepada audien atau rakan-rakannya. Demikian antara strategi mudah saya memasarkan blog ini.

Saya tiada niat untuk kepentingan perniagaan atau apa-apa bisnes peribadi kerana saya bukan ahlinya. Ia semata-mata kerana dakwah dan kepuasan diri sendiri apabila ramai orang membaca tulisan dan menatap foto-foto di sini. Saya suka memanjangkan promosi aktiviti dakwah agar saya mendapat pahala kebaikan tersebut. Walaupun facebook semakin mendapat tempat di kalangan pelayar internet, saya yakini berdasarkan statistik, blog juga ada dunianya tersendiri. Saya turut berterima kasih kepada sahabat-sahabat yang tolong mempromosi blog ini kepada orang lain.

Itu tentang kesukaan orang berkenaan blog ini.

Saya tersenyum sendiri apabila dikhabarkan kisah pembenci blog ini. Pembenci Abu Nuha Corner, ramai juga yang saya kenali dan sudah tentu tidak sedikit yang tidak saya ketahui. Yang ingin saya ceritakan ini, ia bukan orang jauh, dan bukan orang asing dengan saya. Saya baik dengan dia, dan saya berharap dia juga baik dengan saya. Orang tersebut mempunyai jasa yang tidak akan saya lupakan, insya Allah.

Berita yang saya terima, bencinya bukan main kepada blog ini apatah lagi kalau tulisan tertentu melibatkan kepentingan seseorang atau organisasi tertentu pula. Sesudah membaca, dia lapor ke sana sini, ‘kau tidak bacakah blog si anu…’, melepaskan geramnya barangkali. Saya dengar kisah ini beberapa kali. Saya senyum lagi. Saya senyum sebab dalam bencinya membaca tulisan di sini, dia tetap juga membacanya.

Benci tapi rindu.