Ceramah beliau selaku Pengerusi Aqsa Syarif dan salah seorang rakyat Malaysia yang menyertai rombongan kemanusiaan melalui kapal mavi marmara dari Turki ke Palestin begitu menarik sekali. Meskipun kisah mavi marmara ini bukan pertama kali saya mendengarnya,  – kerana pernah mengikuti siri ceramah Tuan Haji Jamuluddin Elias, Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia yang juga salah seorang ahli misi berkenaan – justeru mendengar versi Ustaz Hasanuddin lewat ceramahnya di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral malam isnin lalu juga sangat menarik.

Beliau memulakan ceramah dengan menyebut kepentingan tiga buah masjid – Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid al-Aqsa yang disebut di dalam al-Quran. Kejahatan Yahudi dan zionis sejak berzaman, menyedarkan umat Islam agar sama-sama mengambil peduli dengan penderitaan umat Islam di Palestin menjadi isi penting ceramah. Antara kaedahnya ialah dengan memberikan sumbangan kepada aktivitis yang melakukan kerja-kerja kemanusiaan untuk rakyat Palestin, serta tidak meninggalkan doa buat umat Islam di sana.

Satu perkara yang membuatkan saya tersentak apabila beliau menayangkan foto lewat tayangan, sebuah masjid berkubah hijau yang tersergam tidak dapat dikunjungi oleh umat Islam di sana kerana terhalang akibat dinding besar yang dibina oleh kerajaan haram Israel memisahkan antara masjid dan umatnya. Secara sinis, katanya ramai juga umat Islam di negara kita yang terhalang ke masjid berdekatan kerana gangguan Yahudi di rumah masing-masing!

Layari web rasmi : http://www.aqsasyarif.org.my/