Archive for 1 April 2011


Dipetik dari blog : http://bahrusshofa.blogspot.com/

Marilah kita kembali merujuk kepada para fuqaha kita untuk mengetahui sebenaq-benaqnya hukum mengadakan akad nikah dalam semejid (baca: masjid jangan dibaca samjid). Kalu kita bukak telaah kitab fiqh mazhab Syafi`i kita, antaranya yang hok mudah didapati lagi banyak manfaat dan berkatnya, karya waliyUllah Sidi Abu Bakar ad-Dimyathi rahimahUllah iaitu “Hasyiah I`aanathuth Thaalibin” jilid 3 halaman 315 kita dapati ibaratnya sebagai berikut:-

……. iaitu dan DISUNNATKAN agar akadnikah itu dilakukan dalam masjid. Imam Ibnu Hajar al-Haitami rahimahUllah dalam “Tuhfah” menyatakan: Ini adalah kerana ada suruhan (baca: anjuran) dengannya sebagaimana khabar yang diriwayatkan oleh Imam ath-Thabrani. Iaitu “Hebahkanlah pernikahan ini, laksanakan ia di masjid-masjid, palulah kompang-kompang dan seseorang daripada kamu buatkanlah kenduri walaupun hanya dengan seekor kambing….”

Selain Imam ath-Thabrani rahimahUllah, Imam at-Tirmidzi turut meriwayatkan dalam “Sunan at-Tirmidzi” juzuk 2 halaman 247 sebagai berikut:-

Daripada Sayyidatina ‘Aisyah radhiyAllahu ‘anha menyatakan bahawa Junjungan Nabi SAW bersabda: “Hebahkanlah akan pernikahan ini, laksanakanlah ia di masjid-masjid dan palulah untuknya kompang-kompang.”

Imam at-Tirmidzi rahimahUllah menilai hadits ini sebagai hasan gharib, di mana seorang rawinya yang bernama ‘Isa bin Maimun dipandang sebagai seorang yang dhaif. Sungguhpun begitu, beliau meriwayatkannya daripada Ibnu Abu Najiih seorang yang tsiqah. Hadits yang diriwayat oleh Imam ath-Thabrani yang tersebut dahulu juga tidak lepas dari perselisihan muhadditsin.

Sebahagian muhadditsin seperti al-Hafiz as-Sakhawi dan al-Ajluni menilainya sebagai hasan, manakala sebahagian lain menilainya sebagai dhaif. Oleh itu pihak yang menghukumkan sunnat berakadnikad di masjid mempunyai sandaran antaranya hadits-hadits tersebut, dan tidak mustahil ada sandaran-sandaran lain yang tidak kita ketahui kerana kecetekan ilmu kita.

Mengenai hukumnya dalam mazhab-mazhab lain, maka tersebut dalam “Mawsu`ah al-Fiqhiyyah” sebagai berikut:-

Bahawa adalah pernikahan tersebut diakadkan dalam masjid. Ulama al-Hanafiyyah dan asy-Syafi`iyyah menghukumkan MANDUB untuk melaksanakan akad pernikahan dalam masjid, kerana hadits: “Hebahkanlah akan pernikahan ini, laksanakanlah ia di masjid-masjid dan palulah untuknya kompang-kompang.” Ulama al-Malikiyyah menghukumkannya sebagai JAIZ.

Begitulah hukumnya melangsungkan upacara akadnikah dalam masjid. Maka tuduhan bahawa ianya menyimpang daripada amalan Rasulullah SAW adalah suatu tuduhan melulu tanpa usul periksa dan perlakuan biadap kepada para ulama muktabar yang menghukumnya sebagai sunnat atau setidak-tidaknya harus.

Walau bagaimanapun, dalam melaksanakan upacara pernikahan di masjid, sayogia diberikan perhatian yang sungguh-sungguh agar kesucian dan kehormatan masjid tidak dicemari. Mudah-mudahan Allah sentiasa memberikan taufiq dan hidayahNya bagi kita semua sebagaimana para ulama kita terdahulu.


Ceramah beliau selaku Pengerusi Aqsa Syarif dan salah seorang rakyat Malaysia yang menyertai rombongan kemanusiaan melalui kapal mavi marmara dari Turki ke Palestin begitu menarik sekali. Meskipun kisah mavi marmara ini bukan pertama kali saya mendengarnya,  – kerana pernah mengikuti siri ceramah Tuan Haji Jamuluddin Elias, Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia yang juga salah seorang ahli misi berkenaan – justeru mendengar versi Ustaz Hasanuddin lewat ceramahnya di Surau Riyadhus Solihin Taman Austral malam isnin lalu juga sangat menarik.

Beliau memulakan ceramah dengan menyebut kepentingan tiga buah masjid – Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid al-Aqsa yang disebut di dalam al-Quran. Kejahatan Yahudi dan zionis sejak berzaman, menyedarkan umat Islam agar sama-sama mengambil peduli dengan penderitaan umat Islam di Palestin menjadi isi penting ceramah. Antara kaedahnya ialah dengan memberikan sumbangan kepada aktivitis yang melakukan kerja-kerja kemanusiaan untuk rakyat Palestin, serta tidak meninggalkan doa buat umat Islam di sana.

Satu perkara yang membuatkan saya tersentak apabila beliau menayangkan foto lewat tayangan, sebuah masjid berkubah hijau yang tersergam tidak dapat dikunjungi oleh umat Islam di sana kerana terhalang akibat dinding besar yang dibina oleh kerajaan haram Israel memisahkan antara masjid dan umatnya. Secara sinis, katanya ramai juga umat Islam di negara kita yang terhalang ke masjid berdekatan kerana gangguan Yahudi di rumah masing-masing!

Layari web rasmi : http://www.aqsasyarif.org.my/

%d bloggers like this: