Daripada awal lagi, saya sudah menjangkakan persaingan antara sesama qari akan berlaku dalam MTQ Bandaraya Kota Kinabalu kerana ramai tokoh-tokoh qari berada di sini. Duduk di kerusi hakim dengan mendengar  bacaan para qari yang berkualiti sangat memberi manfaat yang besar kepada saya sendiri. Pendengaran benar-benar ditumpukan kepada huruf demi huruf, kalimah demi kalimah yang diungkapkan oleh peserta.

Saban tahun, persaingan antara Sdr Muttalib, Sdr Salam dan Imam Saidin akan berlaku dan mereka silih berganti menjadi pemenangnya. Kali ini Sdr Muttalib pula diangkat sebagai johan qari dengan markah 80%, melayakkan beliau ke peringkat saringan akhir negeri pada 12 dan 13 April nanti, juga di Masjid Negeri Sabah ini juga. Saya juga gembira dengan kemunculan beberapa qari-qari muda yang mula menunjukkan bakat, hanya barangkali kurang pengalaman berhadapan dengan hadirin yang memenuhi ruang di hadapan mereka.

Hanya saya merasa ralat dengan prestasi kurang menyerlah di kalangan qariah, tiada seorang yang melepasi markah 70%, namun keinginan mereka untuk tampil tetap kita hargai bersama. Mudah-mudahan kualiti bacaan akan terus meningkat dan mengimpikan umat Islam akan menjadikan al-Quran dekat di hati mereka.