Sudah 3 tahun bertugas di Bahagian Penyelidikan dan Informasi, hanya baru kali ini saya menyertai rombongan Urusetia Makanan Gunaan Islam (MGI), satu unit yang penting dalam bahagian kami. Dalam maksud yang mudah, MGI adalah tempat untuk mengurus dalam perkara yang berkaitan soal makanan dan bahan halal seperti di restoran, kilang dan premis seumpamanya. Baru-baru ini, dengan diketuai oleh Ketua Urusetia MGI Tuan Haji Sotimin Sarun rombongan kami membuat pemeriksaan ke beberapa premis di Putatan.

Pemeriksaan dilakukan atas beberapa sebab, antaranya kerana permohonan baru persijilan halal dan permohonan menyambung persijilan yang sudah tamat. Rombongan ini disertai oleh JHEAINS, SIRIM, Majlis Daerah Putatan dan JHEAINS Putatan. Saya menyertai rombongan ini sekadar  mengambil pengalaman dan memegang kamera unit ini.

Premis pertama kami tuju ialah sebuah kedai kek baru ‘Honey Cake’, yang baru beroperasi sekitar sebulan. Pelbagai perkara diperiksa termasuk soal kebersihan pekerja seperti penampilan, pemakaian, kuku; kebersihan premis termasuk di dapur, stor, dan sebagainya. Tidak ketinggalan bahan-bahan ramuan yang semestinya mesti sudah disahkan halal. Saya tabik dengan premis ini, baru beroperasi dan segera pula mendapatkan persijilan halal.

Premis kedua ialah kilang Gardenia, juga di Putatan. Saya sangat teruja untuk masuk ke dalam memandangkan tidak pernah masuk ke sini walaupun bertahun-tahun lalu di hadapannya. Gardenia Putatan adalah dapur besar untuk bahan-bahan makanan diproses sebelum dibawa ke dalam pesawat Penerbangan Malaysia (MAS).

Di sini semua yang masuk ke dalam mesti mengenakan penutup kepala dan mulut bagi menjaga kebersihan makanan dan tempat. Seperti di lokasi pertama, kami memeriksa kawasan dapur yang luas, stor makanan, peti-peti ais yang besar serta melihat beberapa aktiviti penyediaan makanan oleh pekerja. Saya kurang maklum jumlah pekerja keseluruhan, tetapi terdapat empat orang tukang masak daripada jumlah sebelas orang semuanya.

Saya dimaklumkan hasil dapatan pemeriksaan kali ini di sini lebih baik berbanding pemeriksaan sebelum ini. Sebelum ini beberapa teguran telah dilakukan dan pihak pegurusan telah mematuhi arahan-arahan yang dibuat oleh urusetia MGI. Kami juga melihat jadual penghantaran makanan dari sini ke pesawat MAS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu sebelum berlepas ke mana-mana destinasi.

Lokasi ketiga ialah mini kilang roti milik restoran Sri Kajura, Putatan yang dimiliki oleh keluarga Tuan Haji Jumat, anak tempatan Putatan yang sudah berniaga restoran ini lebih 15 tahun lalu. Jujurnya, kami selalu juga membeli roti-roti keluaran Sri Kajura dan ketika di sini saya berpeluang melihat proses membuat dan memproses roti itu dilakukan.

Tidak lama di sini, kerana kami mendapati standard yang ditetapkan diikuti dengan baik oleh pemilik. Sebenarnya, kedatangan rombongan urusetia MGI tidak dimaklumkan kepada pengurusan kilang atau premis terbabit. Hasil dapatan pemeriksaan ini akan dilaporkan dalam mesyuarat, dan mesyuaratlah yang akan membuat keputusan untuk memberikan pengiktirafan sijil halal kepada pemohon atau sebaliknya.