Buku yang disusun semula oleh Ahmad Fadhli Shaari ini menghimpunkan beberapa artikel menarik berkenaan revolusi Mesir 2011 yang bermula dengan dua pandang sisi oleh YAB Menteri Besar Kelantan Tuan Guru  Dato Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat merangkap al-Mursyidul Am  PAS. Penyusun menonjolkan watak-watak orang muda yang menjadi pencetus revolusi ini seperti Khaled Said, Wael Ghonim dan Asmaa Mahfouz serta penggunaan media maya sosial seperti twitter dan facebook untuk menggerakkan massa untuk bangkit menentang pemerintah yang zalim.

Buku ini turut memuatkan sejarah ringkas presiden yang digulingkan, Muhammad Hosni Sayid Sayid Ibrahim Mubarak yang berasal dari Monufiyah, menaiki tangga pemerintahan sehingga digulingkan pada 11 Februari 2011. Akhbar British Guradian menganggarkan harta yang dimiliki Mubarak bernilai  antara USD40 hingga USD70 bilion.

Membaca artikel berkenaan sejarah Yahudi khususnya di Mesir, Palestin dan Madinah sehingga sejarah moden mereka yang merampas bumi Palestin dan kaitannya dengan pemerintah Mesir dan pokok gharqad yang akan melindungi orang-orang Yahudi sedangkan Nabi SAW menjelaskan bahawa Yahudi akan tewas jua akhirnya!

Buku ini juga memuatkan tokoh ulama terkemuka dewasa ini – Dr Yusuf al-Qaradhawi yang berasal dari Mesir tetapi menetap di Qatar akibat kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah zalim negaranya sendiri. Seminggu selepas tumbangnya Hosni Mubarak, Shaikh Yusuf al-Qaradhawi muncul di Dataran Tahrir, menyampaikan khutbah penuh semangat dihadapan ratusan ribu jamaah yang mengasihinya.