Dalam kuliah perubatan Islam yang diadakan di bilik kuliah Masjid Negeri Sabah, antara perkara asas untuk menjadi muallij ialah kemampuan membaca (sebaik-baiknya menghafaz) ayat-ayat yang ditetapkan sebagai ayat-ayat syifa. Antaranya ialah surah al-Fatihah, ayat 1-5 al-Baqarah, ayatul kursi dan lain-lain.

Justeru itu, urus setia telah membentuk sekumpulan mentor di kalangan peserta sendiri yang merupakan para ustaz ustazah dan mereka yang berkemahiran dalam tilawah untuk membantu rakan-rakan peserta mentashihkan dan memperbaiki bacaan mereka. Setiap kumpulan membentuk 4-5 orang dan dicatat prestasi masing-masing.

Saya telah menjelaskan kepada mereka diperingkat awal, bahawa kami berharap tiada peserta yang bimbang lalu menarik diri kerana mempunyai kualiti tilawah atau hafazan yang teruk. Kami juga semahunya tidak akan menyingkir mana-mana peserta sedaya mungkin kecuali setelah melakukan perbincangan di peringkat urusetia. Sebagaimana yang pernah dijelaskan, ruang dakwah dalam kuliah ini sangat jelas sekali.

Kami dimaklumkan di pusat perubatan lain bahawa ada di kalangan peserta yang tidak boleh membaca tetapi mampu menghafaz dengan baik ayat demi ayat lalu ia diterima sebagai peserta dan muallij kerana kesungguhan yang telah mereka tunjukkan. Namun demikian lumrahnya, saya lihat ada juga peserta di sini yang balik, barangkali takut diuji dan didengar bacaan mereka.