Saya setuju benar dengan saranan Ustaz Haji Abdul Rahman Talipudin yang merasmikan majlis penutupan Majlis Menghafaz al-Quran Negeri Sabah 2011 di Maahad Tahfiz Negeri di Kepayan pada pagi selasa lalu. Dalam ucapannya, beliau menyarankan agar majlis ini diangkat martabatnya sesuai dengan taraf ‘peringkat negeri’ itu.

Ini kali ketiga majlis seumpama diadakan. Tahun ini nampaknya secara umum sedikit lebih baik berbanding tahun sudah dari segi beberapa aspek seperti penyertaan, kemeriahan dan persediaan. Memang masih banyak kekurangan yang patut diperbaiki, tapi saya realistik dengan kekangan yang ada dan berharap semoga tahun-tahun mendatang ia semakin baik lagi.

Cadangan Ustaz Abdul Rahman agar majlis dimartabatkan sewajarnya didukung oleh semua pihak. Lokasi majlis berlangsung, logistik, bajet, penyertaan peserta bahkan penyertaan awam untuk menyaksikan majlis ini harus difikirkan bersama supaya nama Majlis Menghafaz al-Quran itu menjadi suatu fenomena dan lambang kebangkitan anak-anak muda di Sabah untuk hidup beragama.

Saya bersama rakan-rakan lain hadir sebagai panel hakim dan mengucapkan tahniah atas keupayaan warga Maahad Tahfiz mengendalikan majlis berkenaan. Tahniah juga buat semua peserta yang tampil ke hadapan walaupun bermacam ragam dapat disaksikan melihat mereka menjawab soalan-soalan mencabar, terutama kepada Khairul Razikin dan Zainab Sapiuddin yang tidak mengecewakan kami. Semoga menyinar di peringkat kebangsaan tidak lama lagi.